Skandal rasuah REE: Saifuddin dedah dokumen, gambar berkait warga China dikait dengan Sanusi

Skandal rasuah REE: Saifuddin dedah dokumen, gambar berkait warga China dikait dengan Sanusi

 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini mendedahkan beberapa dokumen antaranya surat dengan nama dan gambar individu warga China yang dikaitkan dengan insiden kecurian unsur nadir bumi (REE) di Bukit Enggang, di Sik.

Pendedahan itu katanya, adalah bagi memberikan gambaran kepada Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengenai kepincangan pentadbiran beliau, sehingga Menteri Besar Incorporated (MBI) Kedah dilihat terkait dalam kejadian kecurian bahan mineral itu.

Tambahnya, penafian dari Ketua Pegawai Eksekutif MBI mengenai keberadaan individu warga China dalam syarikat, serta laporan polis dari Pengurus Sumber Manusia dan Pentadbiran juga menimbulkan lebih banyak persoalan.

“Jelas, ada permohonan Pas Ikhtiasas (PLIK) kepada dua warga China ini dengan majikannya adalah MBI. Kini penafian dibuat oleh pengurusan tertinggi perbadanan itu. Saya alu-alukan laporan polis dibuat, kerana ini akan membolehkan siasatan terus dijalankan.”

“Terang ada surat dari Menteri Besar dan CEO MBI dengan nama dua warga China yang saya bangkitkan berkali-kali. Menteri Besar harus bertanggungjawab menjawab soalan yang dibangkitkan. Jangan kalih pada isu lain. Ini ruang dia berikan penjelasan dari sudut tatakelola sebuah kerajaan. Mengelak bukan satu pilihan,” katanya.

Kedudukan Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah dalam Lembaga Penasihat MBI juga katanya, menunjukkan adanya konflik kepentingan sehingga memungkinkan jabatan itu tidak mengambil membuka kertas siasatan ke atas rampasan lebih 360 guni bahan REE Januari lalu.

Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) itu turut membidas kenyataan Muhammad Sanusi, bahawa beliau menggunakan kekuatan agensi penguatkuasaan bagi memberikan tekanan kepada pimpinan kerajaan negeri Kedah.

“Sanusi juga mengutip semua maklumat menggunakan jawatan beliau sebagai Menteri Besar bagi mengemukakan kritikan di pentas politik. Kita tidak ada masalah. Kini, bila saya bangkitkan hujah politik, maka tuntutan saya adalah agar beliau menjawab soalan-soalan ini.”

“Beliau (Sanusi) mempunyai akses kepada MBI. Boleh panggil pengurusan kanan dan dapatkan input bagi menjawab segala hujah. Malah, perkara ini sudah dibongkar dan disuarakan oleh orang awam sebelum ini. Saya cuma susun semula,” katanya.

Pendedahan mengenai kecurian REE dan kaitannya dengan MBI Kedah tegasnya menyentuh soal kepimpinan, dan Muhammad Sanusi tidak wajar “cuci tangan”.

Saifuddin berkata demikian dalam sidang media, di Pejabat PKR Negeri di sini, hari ini.