Sokong Israel: Michael Ang tempelak Caprice, jangan jadi batu api

Sokong Israel: Michael Ang tempelak Caprice, jangan jadi batu api

 

Penerbit dan pengarah sensasi, Michael Ang, 47, menempelak tindakan penyanyi, Caprice yang menuduhnya sebagai penyokong Israel.

Menurutnya, Caprice seolah-olah menjadi batu api dengan memanipulasi kenyataan yang dibuatnya pada 2021 dengan menyatakan pengarah itu menyokong keganasan dan kezaliman Zionis

“Caprice memanipulasi kenyataan dan mengatakan saya menyokong keganasan Israel. Itu tidak adil kerana Caprice ada berjuta pengikut membuatkan mereka terus menghentam dan menyerang saya.

“Saya tidak perlu tunjuk kepada satu dunia bahawa saya membangkang tindakan Amerika Syarikat menyokong Israel. Bila kuasa besar sokong, mereka (Israel) akan besar kepala. Tapi Caprice boleh putar belit kenyataan itu,” katanya.

Michael ditemui Utusan Malaysia di majlis sidang media dan sesi rakaman program Dapur Tempur Selebriti di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, dia secara lantang menghentam tindakan Israel sejak tahun 2021 lagi sehingga menyebabkan muat naik tersebut dipadam dan Michael disekat daripada melakukan siaran langsung selama dua bulan.

Pengarah itu turut menegur Caprice agar menghadam sesuatu kenyataan sebelum terus membuat kesimpulan tanpa usul periksa.

“Saya harap dia baca betul-betul dan hadam kenyataan yang saya keluarkan. Jangan terus main tembak.

“Kalau warganet cakap apa-apa tentang saya, saya tak layan atau balas secara sarkastik. Tapi bila Caprice bersuara, saya akan balas balik dan siap tag namanya di Instagram. Barulah dia senyap.

“Dia sangat melampau, masuk campur tapi tidak tahu hujung panggal. Caprice ada nombor telefon saya, boleh hubungi. Sebelum ini, boleh pula dia hubungi saya di mesej Instagram ajak buat lagu,” katanya.

Tindakan Caprice membuatkan warganet menyerangnya di media sosial sehingga ada yang mendoakan kematian anaknya dan merasakan dia tidak layak bergelar seorang muslim.

“Saya yang keluaran apa-apa kenyataan. Kalau nak maki, sila maki saya. Jangan libatkan anak atau keluarga saya. Mereka tak suruh pun saya post apa-apa.

“Saya tidak kisah kalau orang nak nak suruh saya keluar Islam, itu urusan saya dan Allah. Kalau warganet kata saya tak layak bergelar muslim juga saya tidak kisah. Saya tidak perlu pendapat orang lain mengatakan saya muslim yang baik,” katanya.

Terdahulu, perbalahan antara Michael dan Caprice menjadi perhatian warganet apabila Caprice seolah-olah menuduh pengarah itu menyokong kekejaman Israel. Menurut Michael dia bukan sahaja membenci tindakan rejim zionis itu malah mengkritik sokongan kuasa besar dunia yang membantu Israel melakukan keganasan.