Suhaizan guna dua pendekatan berbeza dekati pengundi PH dan BN
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat, menggunakan pendekatan kempen berbeza bagi menyantuni pengundi kawasan berkenaan.
Suhaizan yang juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, berkata tidak timbul isu jentera kempennya tidak disertai Barisan Nasional (BN), pada hari ketiga kempen PRK itu berlangsung.
Katanya, pendekatan kempen berbeza digunakan dalam menyantuni penyokong PH dan BN bagi memastikan maklumat yang disampaikan tepat kepada sasaran.
“Pendekatan berbeza digunakan untuk pengundi menyokong PH di mana kempen lebih ke arah ‘walkabout’ dan ceramah, manakala pengundi serta penyokong BN menggunakan pendekatan pertemuan di Pusat Daerah Mengundi (PDM) bagi membolehkan penerangan diberikan kepada pengundi Melayu.
“Dalam tempoh beberapa hari ini, saya dan jentera banyak melawat PDM yang ada cawangan UMNO.
“Saya diperkenalkan kepada ahli dan ahli jawatankuasa cawangan UMNO Pulai dan setakat ini diterima baik mereka.
“Langkah seterusnya adalah memberi penerangan kepada akar umbi UMNO dan pengundi Melayu tentang pelbagai isu yang menjadi kerisauan mereka terutama isu DAP, ekonomi semasa dan keperluan Kerajaan Perpaduan ditubuhkan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan walkabout di Warung Otai JDT, di Desa Rahmat, hari ini.
Terdahulu, Suhaizan beramah mesra dan memperkenalkan diri kepada pengunjung yang hadir bersarapan di gerai itu.
Dalam pada itu, Suhaizan yang juga Ketua Parti Amanah Negara (AMANAH) Pulai, menyifatkan kempen beliau menerima sambutan baik setakat ini.
“Alhamdulillah, penerimaan orang ramai amat memberangsangkan dengan pengundi menerima baik kehadiran saya,” katanya.