“Sukan pun tak dibenar terima dana syarikat arak, apa lagi sekolah” – Pemuda UMNO tempelak DAP, sokong penuh Menteri Pendidikan

“Sukan pun tak dibenar terima dana syarikat arak, apa lagi sekolah” – Pemuda UMNO tempelak DAP, sokong penuh Menteri Pendidikan

 

Pemuda UMNO menyatakan sokongan penuh kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, dalam mempertahankan

polisi yang melarang syarikat arak, rokok, dan judi daripada memberikan sumbangan kepada sekolah.

Ketuanya, Dr Akmal Saleh, berkata bahawa sumbangan daripada pihak berkenaan tidak dibenarkan dalam sukan bola sepak, apatah lagi untuk sekolah.

“Sokongan sepenuhnya diberikan kepada YB Menteri Pendidikan untuk mempertahankan polisi yang melarang sumbangan daripada syarikat arak, rokok, dan judi kepada pihak sekolah.

“Jika dalam liga bola sepak negara pun tidak dibenarkan syarikat sebegini untuk menyumbang, apatah lagi untuk sekolah di negara ini.

“Saya berharap pihak kerajaan akan mempertahankan polisi sedia ada ini walaupun ada desakan daripada mana-mana menteri untuk mengubahnya,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Semalam, Fadhlina dilaporkan menolak pengecualian terhadap pematuhan garis panduan yang melarang sekolah menerima dana yang diperoleh daripada penjualan produk tembakau dan minuman beralkohol.

Beliau berkata walaupun semua sumbangan dialu-alukan, ia mesti mematuhi garis panduan kementerian.

“Jadi nasihat saya adalah untuk mematuhi garis panduan tersebut.

“Dan juga sekolah mesti memastikan tanggungjawab ini ada pada peringkat pentadbir untuk memastikan semuanya berjalan lancar,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang menyiasat dakwaan sebuah sekolah Cina di Sepang menerima sumbangan daripada sebuah syarikat pengeluar minuman beralkohol.

Kementerian juga telah mengingatkan pentadbir sekolah supaya mematuhi garis panduan yang ada.

Mengulas siasatan tersebut, Fadhlina menyifatkan ia lebih sebagai “memberi panduan” bagi memastikan garis panduan dipatuhi.

Pekeliling tersebut berkuat kuasa sejak Mac 2018 apabila BN menjadi kerajaan. Sekolah Cina telah menerima pembiayaan daripada pelbagai sumber, termasuk kilang bir, selama beberapa dekad.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, pula berkata isu berkaitan sumbangan syarikat arak kepada sekolah Cina bagi mengumpul dana sudah berlaku sejak puluhan tahun lalu.

Justeru, beliau menegaskan akan memberikan penjelasan kepada jemaah menteri berhubung perkara ini hari ini.

Bagaimanapun, Akmal turut membidas Loke dengan menegaskan bahawa negara ini mempunyai peraturan yang perlu dipatuhi.

“Ini negara yang mempunyai peraturan yang perlu dipatuhi, bukan negara yang mengikut aturan Anthony Loke Siew Fook.

“Pemuda UMNO menyokong penuh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, mengenai isu ini. Bebaskan anak-anak kita dari anasir yang tidak baik,” katanya.