Tak perlu ajar PAS: Pemuda PAS bidas Asyraf Wajdi

Tak perlu ajar PAS: Pemuda PAS bidas Asyraf Wajdi

Luahan rasa tidak puas hati di kalangan pimpinan Pas masih belum reda apabila parti itu tidak diberikan sebarang kerusi untuk Pilihan Raya Negeri Sabah.

Saranan Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Pemuda UMNO menyokong tulisan Muhammad Azri (Papagomo), Exco Pemuda UMNO, supaya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempertimbangkan kerusi untuk Pas dibidas pimpinan Pemuda PAS Perak.

Syukri Alimar Syidi, dalam hantarannya mempersoalkan mengapa saranan sama tidak dibuat oleh Barisan Nasional khususnya UMNO setelah laluan diberikan oleh Pas atas kerjasama Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional dalam 7 Pilihan Raya Kecil

“Sudah 7x pilihanraya kecil dimenangi MN/PN. PAS berlapang dada beri laluan kepada BN. Kenapa tidak ayat ini hadir untuk pertimbang kerusi kepada PAS?Bila tiba PRN Sabah, dimana PAS dibawah komponen BN. Lembut pula bahasa minta orang lain pertimbang kerusi” balasnya yang merujuk kepada tulisan Asyraf sebelum ini.

Beliau juga mengingatkan Asyraf bahawa PAS maklum bagaimana sikap Bersatu dan tahu untuk menguruskannya.

“Tidak perlu ajar PAS mengenai PPBM. Kerana asal usulnya juga dari BN. Biar kami jaga ‘kain’ sendiri. Tahulah kami bersilat”, terangnya.

Dalam pada itu, beliau juga membidas Asyraf supaya jangan bermuka-muka dan berterus-terang dalam setiap tindakan yang dibuat UMNO.

“Tidak perlu baling batu sembunyi tangan”, tegasnya.

Pertikaman lidah di kalangan pimpinan Pas berhubung pembahagian kerusi menjadi perhatian ramai pihak setelah parti itu dilihat komited dalam kerjasama MN dan PN tetapi gagal memperoleh sebarang kerusi dalam PRN Sabah kali ini.