Teknik buat pes cili, bawang dan halia kisar, tahan 3 bulan!

Teknik buat pes cili, bawang dan halia kisar, tahan 3 bulan!

 

Seronok kalau cili, bawang dan halia dapat dikisarkan untuk dijadikan pes dalam kuantiti yang banyak dan dapat bertahan lama, kan? Sudah tentu, tugas memasak di dapur menjadi lebih mudah setiap hari.

Bila memasak jadi semakin mudah, tukang masak tentu jadi lebih gembira dan tidak kelam kabut ketika memasak. Juadah pun dapat disiapkan tepat masanya.

Seorang pengguna Facebook, Cik Dayang Zuhaila berkongsi tips untuk menghasilkan pes cili, bawang dan halia kisar untuk tahan lebih lama.

Jelasnya, tips ini sangat memudahkan, baik dari segi penyimpanan bahan masakan mahupun ketika menyediakan juadah.

“Stok yang Cik Dayang buat ini, kalau jenis rajin masak, dua minggu sudah habis. Tetapi, kalau jenis malas masak, stok ini tiga bulan pun masih tahan lagi tau. Wajib simpan dalam peti ais.” jelasnya.

Berikut merupakan cara-cara untuk menghasilkan pes cili kisar, bawang kisar serta halia kisar yang tahan lama:

Cara buat cili kisar

Pertama sekali, gunting cili kering kecil-kecil iaitu saiz lebih kurang satu inci dan buangkan biji pada cili kering itu. Rebus cili tersebut sehingga teksturnya menjadi lembut.

Jangan lupa masukkan garam dah sedikit minyak agar cili yang direbus menjadi cepat lembut. Selepas itu, tapis sebatian tersebut dan bilas dengan menggunakan air.

Masukkan cili tadi ke dalam mesin pengisar dan kisarkannya sambil masukkan sedikit air bagi memastikan mesin tersebut dapat berfungsi dengan baik.

Setelah selesai dikisar, simpan pes cili kisar tadi ke dalam bekas yang kering dan letakkan sedikit asam keping.

Simpan pes cili kisar tadi di dalam peti sejuk dan pes tersebut dapat bertahan sehingga tiga bulan.

Cara buat bawang besar kisar

Mula-mula, ambil satu kilogram bawang besar dan hiriskannya halus-halus agar bahagian bawang tersebut mudah untuk dikisarkan.

Kisarkan bawang tersebut sedikit demi sedikit dengan meletakkan minyak di dalamnya. Anggaran minyak masak adalah lebih kurang separuh daripada jumlah bawang.

Jelas Cik Dayang, jika anda hendak meletakkan air sahaja pun tidak menjadi sebarang masalah. Pastikan air yang dimasukkan ke dalam mesin pengisar hanya sedikit, sekadar untuk memudahkan mesin tersebut mengisar bawang nanti.

Selepas selesai mengisar pes bawang besar, masukkannya pes tersebut ke dalam bekas yang kering. Letak sesudu garam di atas permukaan bawang kisar sebelum menyimpannya dalam peti sejuk.

Ujar Cik Dayang, pes bawang besar kisar ini dapat bertahan kira-kira satu hingga dua bulan.

Cara buat bawang putih kisar

Bagi menghasilkan pes bawang putih kisar pula, ambil setengah kilogram bawang putih dan kupaskan kulinya. Setelah selesai dikupas, cuci dan hiriskan ulas-ulas bawang tersebut secara halus.

Kisar bawang putih tadi bersama air yang bertapis dan anggaran air adalah tidak sampai separuh dari jumlah bawang putih yang dikisar.

Seperti pes-pes sebelum ini, masukkannya ke dalam bekas yang kering selepas dikisar sehingga lumat. Menurut Cik Dayang, pes bawang putih kisar yang dihasilkan dapat bertahan dalam lingkungan dua bulan.

Cara buat halia kasar

Sediakan dalam setengah kilogram halia dan buangkan kulitnya. Setelah kulit halia telah dibuang, cuci dan potong halia terbabit. Boleh dikatakan satu perkara yang wajib untuk memotong bahan masakan ini dengan halus untuk memudahkannya dikisar.

Kisarkan halia yang telah dipotong dengan memasukkan sedikit air ke dalam mesin pengisar. Berdasarkan pengalaman Cik Dayang terdahulu, air yang perlu diletak hanya 1/4 daripada isian halia.

Hal ini disebabkan halia merupakan tumbuhan yang memiliki banyak kandungan air. Jadi, elak letak terlalu banyak air dalam kisaran halia.

Seperti biasa, simpan pes di dalam peti sejuk dengan menggunakan bekas yang bersih. Berdasarkan pengalaman Cik Dayang, jumlah pes halia ini dapat bertahan sekitar dua bulan.

Selain menyediakan cara untuk menghasilkan pes kisar, Cik Dayang turut  memberikan tips bagi memastikan pes yang dihasilkan dapat bertahan lama.

Jelasnya, setiap kali hendak mengambil bahan ini, pastikan anda menggunakan sudu yang kering dan bersih. Jangan sesekali mencampur adukkan penggunaan sudu untuk mengambil pes.

Dengan erti kata lain, jangan gunakan sudu yang sama dengan sudu yang digunakan untuk mengambil pes yang lain. Gunakan sudu yang berasingan bagi mengelakkan sebarang pencemaran silang.