Tengku Zafrul dedah kesan negatif jika BlackRock gugurkan pelaburan di Malaysia

Tengku Zafrul dedah kesan negatif jika BlackRock gugurkan pelaburan di Malaysia

 

Firma pelaburan global, BlackRock Inc sudah memiliki pelaburan ekuiti dalam 100 syarikat tersenarai di Malaysia, membabitkan nilai aset keseluruhan RM27.5 bilion.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata jumlah itu membabitkan nilai RM20.5 bilion di Bursa dan RM7 bilion lagi dalam bon kerajaan dan syarikat korporat.

Justeru kata beliau, sebarang pengguguran pelaburan BlackRock dari Malaysia, jika berlaku akan mendatangkan implikasi dan kesan negatif dalam usaha untuk merealisasikan agenda pelaburan negara.

“BlackRock sudah ada di Malaysia sejak 1990-an. Setakat Mei lalu, BlackRock sebagai sebuah firma pelaburan global sudah memiliki pelaburan ekuiti di dalam 100 syarikat tersenarai di Malaysia, merangkumi sektor industri dengan tiga entiti terbesar membabitkan institusi perbankan di negara ini,” katanya menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) pada sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Guang Eng bertanyakan jumlah pelaburan oleh BlackRock atau syarikat yang kaitan dengannya dalam Malaysia, negeri mana terbabit dan apakah impak kepada ekonomi negara sekiranya semua pelaburan BlackRock berpuluh-puluh tahun kebelakangan ini digugurkan.

Mengulas lanjut Zafrul berkata, setakat 31 Mac lalu, aset di bawah pengurusan BlackRock sudah bernilai RM49.35 trilion dan syarikat itu turut memegang saham dalam hampir semua syarikat senaraian awam di seluruh dunia dan dana berdaulat di negara seperti Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Oman, Bahrain dan Indonesia.

Katanya, di antara pelaburan BlackRock di dalam pasaran bon terbitan kerajaan pula adalah Malaysia Sukuk Global Berhad; Export-Import Bank of Malaysia Berhad; Malaysia Wakala Sukuk Berhad; Petroliam Nasional Berhad serta Malaysia Sovereign Sukuk Berhad.

“BlackRock turut mempunyai kepentingan pelaburan di dalam Tenaga Nasional Berhad sebanyak RM8.6 juta, Metal Aluminium sebanyak RM625 juta dan CelcomDigi sebanyak RM526 juta,” katanya.

Beliau berkata, BlackRock juga pemegang saham bagi beberapa syarikat multinasional besar yang beroperasi di Malaysia termasuk Microsoft, Boeing, Intel, dan Texas Instruments.

Katanya, syarikat seperti Microsoft, Boeing, Intel, dan Texas Instruments yang mempunyai pemilikan saham BlackRock menyumbang kepada pembangunan industri dan negeri melalui projek pelaburan yang dijalankan di Malaysia.

“Ini termasuk Intel yang menyumbang kepada pertumbuhan sub-sektor semikonduktor di Pulau Pinang; Infineon di Melaka dan Kedah, Texas Instruments dalam industri elektrikal & elektronik di Melaka dan Kuala Lumpur serta subsidiari Boeing, iaitu Aerospace Composites Malaysia Sdn Bhd (ACM) dalam industri aeroangkasa di Kedah,” katanya.

Katanya, syarikat dengan pegangan saham BlackRock ini sudah memberi sumbangan besar kepada pendapatan eksport negara antara Intel, menyumbang sebanyak RM50 bilion nilai eksport untuk komponen semikonduktor.

“Texas Instruments menyumbang sebanyak RM20 bilion nilai eksport komponen elektronik; Microsoft menyumbang sebanyak RM15 bilion nilai eksport perkhidmatan teknologi maklumat dan Boeing sudah menyumbang sebanyak RM10 bilion nilai eksport komponen aeroangkasa,” katanya.