Terima pencalonan PH, Kor Ming sahkan bakal berentap dengan Mat Maslan
Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming mengesahkan beliau dicalonkan oleh Pakatan Harapan (PH) untuk bertanding jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat pada minggu depan.
Ketika menjadi panelis dalam Program SkopMG, beliau yang pernah memegang jawatan itu ketika era pentadbiran kerajaan PH berkata, pemilihan tersebut akan diadakan pada Selasa berikutan penyandangnya Datuk Azalina Othman Said meletak jawatan baru-baru ini.
“Demi untuk mengisi jawatan tersebut maka kita sekarang ada dua orang calon. Saya sendiri dan juga Datuk Seri Ahmad Maslan.
“Maka terpulanglah kepada kebijaksanaan 220 orang ahli Parlimen untuk mengisi kekosongan tersebut memilih salah seorang calon Timbalan Speaker,” katanya.
Pada 23 Ogos lepas, Azalina yang merupakan Ahli Parlimen Pengerang meletak jawatan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Keputusan itu dibuat selaras dengan pelantikan Perdana Menteri baharu dan permintaan rakyat untuk memastikan kerjasama pelbagai pihak.
Dalam satu kenyataan, Azalina berkata, keputusan mengosongkan jawatan itu bagi membolehkan kerajaan dan pembangkang mendapatkan lebih banyak ruang untuk membetulkan semula Dewan Rakyat agar ia benar-benar dapat berfungsi sebagai forum persaingan profesional dan kolaborasi mengenai dasar dan pentadbiran.
Sumber – MalaysiaGazette