Terkini! Amerika haramkan import produk sawit dari FGV
Amerika Syarikat (AS) dilaporkan bakal mengharamkan import produk sawit dari syarikat FGV Holdings kerana mendakwa syarikat tersebut melakukan kerahan tenaga buruh paksa.
Agensi Perlindungan Kastam dan Sempadan AS (CBP) dalam satu kenyataan menjelaskan pengharaman itu dilakukan berdasarkan hasil siasatan selama setahun yang mendakwa syarikat tersebut melakukan tenaga buruh paksa seperti penyeksaan terhadap golongan ditindas, keganasan fizikal dan seksual, melakukan ancaman dan penyimpanan pengenalan diri.
Siasatan itu turut mendakwa bahawa buruh paksa kanak-kanak telah digunakan dalam proses pengeluaran minyak sawit syarikat tersebut.
CBP dalam kenyataan tersebut turut menegaskan pengharaman itu berkuatkuasa serta merta.
Susulan itu, CBP sudah mengeluarkan arahan Perintahan Tahanan Pelepasan (WRO) terhadap kemasukan dan penggunaan minyak sawit yang dihasilkan FGV di negara itu.
Pengharaman oleh CBP itu menyusul selepas sekumpulan hak asasi meminta pihak berkuasa AS untuk melakukan siasatan terhadap FGV mengenai kebimbangan penggunaan buruh paksa dan pemerdagangan manusia dalam syarikatnya.
FGV bagaimanapun masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan balas berhubung perkara ini.
Sumber: Astro Awani