Terkini! Muhyiddin akan didakwa di mahkamah esok

Terkini! Muhyiddin akan didakwa di mahkamah esok

 

Bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan menghadapi pelbagai pertuduhan jenayah di mahkamah esok, menurut sumber SPRM.

Menurut sumber yang rapat dengan siasatan, presiden Bersatu itu akan didakwa di bawah beberapa peruntukan mengikut Akta SPRM di Mahkamah Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, masih belum dapat dipastikan sama ada agensi anti rasuah itu akan menahan Muhyiddin semalaman sebelum membawanya ke mahkamah, kerana pegawai penyiasat masih belum membuat keputusan.

“Pegawai penyiasat masih merekodkan keterangan beliau (Muhyiddin).

“Setakat ini saya tidak boleh menyatakan sama ada mereka akan menangkapnya. Mereka akan memutuskannya selepas merakamkan kenyataannya,” kata sumber yang enggan dikenali itu.

Semalam, ahli Parlimen Pagoh itu menafikan dakwaan dia ditahan SPRM ketika bermain golf di sebuah padang golf di Selangor, seperti dilaporkan beberapa portal media.

SPRM sebelum ini telah membekukan akaun parti Bersatu, dan beberapa individu termasuk bekas ketua penerangan parti itu Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad, didakwa di mahkamah berkaitan projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Perkembangan siasatan kes berkenaan mendapat liputan ramai pengamal media tempatan dan asing, selain penyokong pengerusi Perikatan Nasional itu yang berkumpul di luar bangunan SPRM sejak 7 pagi tadi.