Terkini!!! Pengawal keselamatan dilibas pedang meninggal dunia petang tadi
Pengawal keselamatan yang cedera di kepala dan tangan kiri akibat dilibas pedang meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini, hari ini.
Memetik laporan BHarian, mangsa, Ismail Ahmad, 58, menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 6 petang tadi selepas dimasukkan ke hospital sejak Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan ketika dihubungi mengesahkan mengenai kematian mangsa, namun enggan mengulas lanjut mengenainya kerana siasatan masih dijalankan.
Difahamkan, mayat akan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar dan punca kematian mangsa hanya akan diketahui selepas proses bedah siasat yang dijangka dilakukan dalam masa terdekat.
Terdahulu, seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini, atas pertuduhan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan (KK) kerana mendatangkan kecederaan menggunakan sebilah pedang terhadap mangsa.
Tertuduh, R Subramaniam, 41, mengaku bersalah terhadap perbuatannya itu sebelum mahkamah menetapkan 29 Ogos depan untuk tarikh jatuh hukum sementara menunggu laporan perubatan penuh mangsa.
Lelaki terbabit beredar sebelum datang semula bersama dua rakan dan melibas sebilah pedang terhadap mangsa sehingga pengawal keselamatan terbabit terpaksa dikejarkan ke hospital.
Susulan daripada kejadian itu juga menyebabkan berlaku penyebaran berita palsu di media sosial yang cuba dilakukan individu tertentu dipercayai sengaja mahu mencetuskan isu perkauman.