Terkini!!! PH mohon adakan pertemuan dengan TYT Melaka
Pakatan Harapan (PH) Melaka dan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berhasrat bertemu Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.
Menurut Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari, pertemuan itu penting bagi memastikan kestabilan politik di negeri itu kembali tenang.
“Seramai 11 ADUN PH dengan ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Harun yang mewakili empat ADUN berhasrat mengadakan pertemuan dengan Yang di-Pertua Negeri Melaka.
“Ia bagi membincangkan tentang usaha yang boleh diambil bagi memastikan kesinambungan politik negeri dan kesinambungan pentadbiran kerajaan akan dapat diteruskan,” katanya dalam sidang media hari ini.
Adly mengadakan sidang media itu selepas empat ADUN Melaka mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Sulaiman.
Mereka adalah DUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron; ADUN Pangkalan Batu; Datuk Norhizam Hassan Baktee; ADUN Teluk Emas, Datuk Noor Effandi Ahmad dan ADUN Pantai Kundur, Datuk Nor Azman Hassan.
Ditanya mengenai calon Ketua Menteri yang akan dicalonkan, Adly berkata, perkara itu akan diputuskan selepas pertemuan dengan Mohd Ali.
“Kalau kita lihat dalam Perlembangaan Negeri bidang kuasa melantik Ketua Menteri adalah di tangan Yang di-Pertua.
“Kita akan bertemu dahulu dengan Yang di-Pertua Negeri bagi mencari dan berbincang untuk kebaikan dahulu,” jawab bekas Ketua Menteri PH itu lagi.
Sebelum ini spekulasi bertiup kencang mendakwa, kerajaan negeri Melaka yang diterajui UMNO bakal tumbang pada bila-bila masa.
Sumber – MalaysiaGazette