Tewas undian belah bahagi, kerajaan Ismail dimalukan pembangkang

Sidang Dewan Rakyat hari ini melakar sejarah buat blok pembangkang apabila buat pertama kalinya menang dalam penentuan undi belah bahagi, lapor akhbar Sinar Harian.
Undian dibuat mengenai usul bagi melanjutkan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) berkenaan tahanan selama 28 hari tanpa perbicaraan.
Perkara yang sama turut dikongsikan Ahli Parlimen Alor Setar, Chan Ming Kai di dalam FBnya sebentar tadi.
“86 vs 84, kami berjaya tolak usul dari pihak kerajaan. Hidup Rakyat!”, tulisnya.
Kegagalan usul itu menyebabkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak dapat melanjutkan kuat kuasa Subseksyen 4(5) bermula 31 Julai depan.
Subseksyen itu bagi membolehkan polis terus menggunakan kuasa khas di bawah subseksyen itu, untuk melanjutkan tempoh penahanan individu yang ditangkap dan ditahan di bawah SOSMA sehingga 28 hari.
Terdahulu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor memutuskan usul itu diundi secara belah bahagian selepas Nga Kor Ming (PH-Teluk Intan) bangun meminta undi belah bahagian dibuat, selaras Peraturan Mesyuarat 46(4).
Susulan itu, sidang Dewan Rakyat ditangguhkan 10 minit selepas loceng dibunyikan selama dua minit, sebelum undian belah bahagian dibuat.
Penangguhan itu dipercayai dibuat untuk menukar Speaker Dewan Rakyat yang mempengerusikan majlis ketika undian belah bahagian berjalan, sekali gus membolehkan Ramli yang juga Ahli Parlimen Cameron Highlands, turut serta dalam undian berkenaan.
Sebaik tempoh 10 minit berakhir, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun masuk menggantikan Ramli untuk mempengerusikan majlis ketika undian belah bahagian dibuat.
Sementara itu, sesi undian sedikit kecoh apabila sejumlah Ahli Parlimen pembangkang membangkitkan bantahan terhadap beberapa Ahli Parlimen kerajaan yang masuk lewat ke dalam Dewan, selepas sesi undian dimulakan.
Susulan itu, Azhar mengarahkan Setiausaha Dewan Rakyat, Dr Nizam Mydin Bacha Mydin menolak undian beberapa Ahli Parlimen yang masuk lewat. Difahamkan, tiga undi Ahli Parlimen kerajaan ditolak.
Selepas keputusan undian diumumkan, Menteri Wilayah Persekutuan yang juga Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, membangkitkan bantahan secara sambil lalu kerana tiga Ahli Parlimen kerajaan tidak dapat mengundi.
“Tiga orang (Ahli Parlimen) kerajaan tidak dapat mengundi, tetapi ada dalam Dewan. Kalau berani undi lagi sekali,” katanya.