Tiada siasatan baru terhadap Tun M – PDRM

Tiada siasatan baru terhadap Tun M – PDRM

Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak melakukan siasatan baharu ke atas Tun Dr. Mahathir Mohamad seperti mana dilaporkan oleh beberapa portal berita.

Pangarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ Bukit Aman), Komisioner Datuk Seri Abd Jalil Hassan yang mengesahkan perkara itu berkata, kali terakhir bekas Perdana Menteri itu dipanggil PDRM adalah pada 23 Mac lalu bagi membantu siasatan kes terbitan buku bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

“Rakaman percakapan beliau diambil hanya sebagai saksi bagi menjawab beberapa persoalan yang ditimbulkan dalam buku dihasilkan oleh bekas Peguan Negara tersebut berjudul My story: Justice in the wilderness,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Terdahulu Dr. Mahathir yang merupakan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mendakwa beliau akan dipanggil untuk disiasat polis.

“Saya akan dipanggil untuk soal siasat. Di Malaysia ini sat tekanan yang menakutkan. Tutup mulut.Tutup telinga. Awak okay,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan awal hari ini.