Tiada simpati buat Najib, Gopal Sri Ram kekal sebagai pendakwaraya kes 1MDB
Bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram kekal sebagai sebahagian pasukan pendakwaan dalam kes berkaitan 1MDB melibatkan Najib Razak.
Mahkamah Rayuan hari ini sebulat suara menolak rayuan Najib agar Sri Ram digugurkan sebagai timbalan pendakwa raya dalam perbicaraannya.
Sri Ram mengetuai pasukan pendakwaan dalam beberapa perbicaraan berkaitan 1MDB terhadap Najib di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, antaranya kes pindaan laporan audit 1MDB dan kes rasuah dana RM2.28 bilion.
Najib membuat rayuan setelah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 15 Februari lalu memutuskan untuk menolak permohonannya untuk menggugurkan Sri Ram.
Antara permohonan yang telah difailkan bekas perdana menteri itu untuk tujuan tersebut adalah semakan kehakiman yang ditolak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Ogos tahun lalu.
Panel tiga hakim hari ini dipengerusikan Yaacob Md Sam. Panel lain adalah Abu Bakar Jais dan Che Mohd Ruzima Ghazali.
Sumber – Malaysiakini