Tips goreng sosej supaya tak kecut & kedut
Sosej merupakan salah satu makanan proses yang boleh didapati di peti sejuk bagi kebanyakan isi rumah Malaysia. Terdapat pelbagai jenis sosej dalam pasaran, namun yang paling digemari sudah tentu sosej ayam dan juga sosej daging.
Selain itu, sosej ini boleh disifatkan sebagai makanan yang boleh disediakan dalam pelbagai juadah. Sebagai contoh, sosej boleh diletakkan di dalam sandwich untuk sarapan pagi atau dihiris nipis untuk dicampur dengan nasi goreng. Paling mudah, goreng dan dimakan begitu sahaja.
Maka, tidak hairanlah jika makanan ini sering didapati dalam bahagian sejuk beku pada peti sejuk di rumah orang Malaysia.
Walaupun rata-rata kita pernah menggoreng sosej di rumah, namun ada kalanya sosej yang digoreng itu ‘tidak begitu cantik kejadiannya’.
Jika nasib kurang bernasib baik, sosej yang digoreng menggelembung dan menjadi kedut apabila diangkat.
Dengan melihat teksturnya yang kurang memuaskan ini, sudah semestinya kurang berselera untuk kita menjamahnya.
Seperti yang dialami oleh seorang pengguna Facebook, Siti Afifah yang berkongsi masalahnya menerusi kumpulan Facebook, Masak Apa Tak Jadi Hari Ni Official.
Wanita berkongsi gambar sosejnya yang kurang menyerlah dan mengakui sedikit hampa.
“Aku kalau bab goreng Sosej ni memang failed. Kalau rebus, ok lagi lah. Ada tips tak nak bagi gorengan sosej ni cantik macam dekat kedai tu?”
Soalan Siti Afifah telah meraih perhatian warga maya yang rata-ratanya pernah menghadapi situasi yang dialami wanita terbabit.
Hasil goreng sosej yang dijangka indah dan gebu akhirnya bertukar menjadi sosej goreng yang kedut seribu.
Pengguna Facebook beri komen, dedah cara goreng sosej agar kelihatan ‘ cantik kejadian ‘
Dalam ratusan komen yang diterima, seorang katerer dan pengusaha pasar malam telah berkongsi cara untuk menggoreng sosej dengan tepat. Hasilnya, sosej akan kelihatan lebih licin dan mulus.
Komen yang diberikan Fareez Amy Shafie telah meraih banyak reaksi positif daripada para pengguna Facebook lain.
Jelasnya, untuk memastikan kulit sosej yang digoreng masih tengang dan tidak kembung, elak goreng sosej dalam minyak yang sudah panas.
“Buka sahaja api, terus masukkan sosej ke dalam minyak (bilas dahulu sosej dengan air dan keringkan). Biar sosej masak bersama minyak yang baru nak panas. Timbul je sudah boleh diangkat. Pasti masak,” katanya.
Tambahnya, kaedah tersebut akan membuatkan sosej sedikit berminyak. Jadi, tos dahulu sosej tersebut sehingga minyak kering barulah dimakan.
Selamat mencuba.