Tular nasi ayam berempah RM15 sebungkus, rakyat makin resah

Tular nasi ayam berempah RM15 sebungkus, rakyat makin resah

Baru beberapa hari berpuasa, rakyat terpaksa berdepan situasi yang agak membebankan apabila dilaporkan harga ayam naik hingga melepasi harga kawalan.

Jika harga ayam mahal, sudah tentu makanan siap dimasak berasaskan ayam yang dijual di bazar Ramadan turut naik harga atau potongan saiznya lebih kecil.

Malah, tular di media sosial pada Sabtu mengenai tindakan seorang peniaga menjual nasi ayam berempah dengan harga RM15 sebungkus.

Harga yang dikenakan itu disifatkan tidak masuk akal kerana ayam berempah tersebut bukan bersaiz besar sementara begedilnya cuma besar sedikit daripada duit syiling 50 sen lama serta tempe pula panjangnya tidak sampai sejengkal.

Situasi tersebut pastinya mengundang resah rakyat kerana jika lauk ayam pun sudah mahal sebegitu, pastinya lauk-lauk lain akan lebih mahal.

Lazimnya sebelum ini lauk ayam menjadi lauk pilihan majoriti rakyat marhaen kerana harganya lebih murah.

Mereka yang biasa ke pasar sememangnya tahu harga ayam agak murah berbanding ikan yang rata-ratanya berharga belasan ringgit dan ke atas bagi setiap kilogram.

Itu belum disentuh harga barang mentah lain seperti daging, sotong, udang dan ketam yang berganda lebih tinggi.

Bagaimanapun, jaminan yang diberikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub pada Sabtu bahawa harga kawalan ayam mentah tidak akan dinaikkan sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada rakyat.

Salahuddin berkata, KPDN akan mendapatkan data bekalan daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) berhubung kenaikan harga ayam.

Katanya, kenaikan harga barang mentah berkenaan ketika ini mungkin disebabkan isu bekalan yang mana ia di bawah tanggungjawab MAFS.

Pada Jumaat dilaporkan purata harga ayam standard pada bulan Februari 2023 meningkat kepada RM10.33 sekilogram berbanding RM9.46 pada Februari 2022 yang mana turut melepasi harga kawalan ditetapkan iaitu RM9.40.

Diharapkan isu kenaikan harga ayam tersebut dapat ditangani segera apatah lagi pada 16 Mac lalu KPDN menjangkakan bekalan makanan bekalan makanan asas mencukupi menjelang Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

Oleh itu kementerian yang bertanggungjawab perlu memastikan orang ramai tidak terus dibelenggu masalah kenaikan harga makanan yang melampau.