Waheeda nafi Ustaz Akhil halang dirinya kembali menyanyi
Penyanyi Waheeda melahirkan rasa syukur apabila nama kembali menjadi bualan peminat selepas persembahannya menyanyikan lagu ikonik, Wassini pada Anugerah Juara Lagu (AJL) pada 2003 kembali tular.
Rata-rata peminat merinduinya dan mempersoalkan di manakah dan mengapa menghilangkan diri dari industri hiburan.
Waheeda atau nama sebenar, Norwahidah Abdul Wahab berkata, dia terharu atas ingatan peminat biarpun sekian lama menyepi.
“Alhamdulillah, saya terharu dan peminat sangat baik.
“Bila fikirkan mereka yang rindu, sayang walaupun kita tak saling mengenali, tetapi ada rasa begitu, ia adalah rezeki Allah.
“Saya bersyukur kerana ia buat saya terharu, tetapi selalu cakap siapa yang merindu dan menyayangi, anda sebenarnya memang disayangi,” katanya dalam program hiburan popular TV3, Melodi.
Disoal adakah tidak terbit rasa rindu untuk kembali ke industri hiburan, ini jawapan pemenang kategori Album Pop Etnik Terbaik pada Anugerah Industri Muzik (AIM) pada 2008 itu.
“Kalau kata nak rindu industri itu, sebenarnya rindu pada kawan-kawan.
“Tak semestinya kalau tak aktif dan berdepan khalayak ramai, penghasilan muzik akan berhenti,” ujarnya.
Biarpun lebih 10 tahun menyepi, Waheeda menyangkal dakwaan suaminya yang juga pendakwah bebas dan penyanyi, Ustaz Akhil Hayy menghalangnya untuk berkarya, sebaliknya memberi dorongan.
“Kasihan suami, kena tuduh macam-macam. Mulanya saya nak berundur sekejap.
“Saya berhenti sebab nak kenal al-Quran semula, lebih kepada mencari ilmu.
“Ia tidak ada kena mengena sebab lain. Sebenarnya saya nak berhenti sebelum kahwin lagi, tetapi tak tahan dan kena berhenti.
“Suami tak pernah halang atau kongkong, lebih lagi, soal muzik sebab itu memang jiwa saya.
“Sehingga hari ini, saya membesar dengan muzik, jadi suami minta teruskan,” kongsinya.
Dalam pada itu, Ustaz Akhil turut memberi respon dengan menegaskan tiada isu menghalang isterinya untuk berkarya.
“Sebagai suami, sudah tentu saya hanya mengawal. Memang Waheeda sudah berhijrah, menghentikan kegiatan seni walaupun bukan sepenuhnya atas dasar hukum.
“Alhamdulillah, tiada isu pun, kalau saya tiada dan dia ingin kembali, itu hak Waheeda.
“Tetapi, saya nampak Waheeda berhijrah kerana Allah.
“Apa-apa pun terletak atas niat. Sebagai suami, saya hanya mengawal keadaan supaya tidak disoal siasat dan dipertanggungjawab di Padang Mahsyar kelak,” ujar Ustaz Akhil.
Waheeda mendirikan rumah tangga dengan Ustaz Akhil pada 2009 dan belum dikurniakan rezeki cahaya mata.