Wanita mangsa tragedi bot rekreasi terbalik di Teluk Batik, meninggal dunia

Wanita mangsa tragedi bot rekreasi terbalik di Teluk Batik, meninggal dunia

 

Salah seorang daripada dua mangsa bot rekreasi terbalik di Pantai Teluk Batik semalam, dilaporkan meninggal dunia awal pagi tadi.

Mangsa wanita berusia 34 tahun, Nurul Afiqah Abdullah Sani menghembuskan nafas terakhir pada jam 4.48 pagi tadi di Hospital Seri Manjung, di sini.

Jenazah dilaporkan akan dibawa pulang ke kampung keluarga di Bagan Tiang untuk dikebumikan selepas Zohor.

Perkembangan terbaharu diperolehi daripada Facebook adik mangsa.

Semalam, media melaporkan kejadian dua pelancong termasuk seorang orang kurang upaya (OKU) dilaporkan selamat selepas ditemukan lemas apabila bot rekreasi yang dinaiki mereka terbalik di Pantai Teluk Batik.

Mangsa dibantu oleh orang awam dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Manjung sebelum dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk rawatan lanjut.

Bot rekreasi berkenaan dinaiki sembilan individu daripada dua keluarga termasuk dua kru yang mengendalikannya.