Warden penjara rogol isteri tahanan sehingga bunting
Nampaknya isu melibatkan pegawai penjara masih tidak selesai. Sebelum ini tular kisah banduan dikerah mencuci kenderaan pegawai penjara. Namun, isu tersebut dianggap selesai selepas Jabatan Penjara tampil membuat penjelasan.
Terbaru, tular pula kisah pegawai penjara yang menggunakan pangkat dan kedudukannya bagi melakukan kesalahan.
Menurut laporan akhbar Utusan Online, seorang anggota polis di Sumatera Selatan dilaporkan kepada pihak atasan selepas didakwa merogol seorang isteri tahanan sehingga hamil.
Mangsa merupakan isteri kepada seorang tahanan kes dadah di Penjara Tanjung Raja, daerah Ogan Ilir.
Menurut Ketua Perhubungan Awam Polis Sumatera Selatan, Supriadi mengesahkan pihaknya sudah menerima laporan tersebut.
Katanya, kes tersebut terbongkar selepas peguam bela tahanan tersebut membuat laporan pada Jumaat lalu.
“Kami akan meneliti kes ini dan jika benar dakwaan itu, kami akan menahan anggota polis berkenaan untuk dikenakan tindakan,” katanya.
Peguam Feodor Novikov Denny berkata, anak guamnya kini masih menjalani hukuman penjara di Tanjung Raja dan selepas mengetahui isterinya dirogol oleh anggota polis tersebut, dia meminta supaya melaporkan hal itu kepada polis.
“Anggota polis itu mengugut untuk memindahkan tahanan tersebut ke penjara yang lebih jauh sekiranya mangsa enggan melayani nafsu serakahnya.
“Kerana takut tidak dapat berjumpa lagi dengan suaminya, mangsa menuruti permintaan anggota polis tersebut dan kini dia hamil dua bulan akibat perbuatan itu,” ujarnya kepada Kompas.com.
Selain itu, Feodor memberitahu, anggota polis tersebut turut mengancam untuk mengupah orang bagi mencederakan suami mangsa di dalam penjara jika enggan menuruti permintaannya.