Wargamaya berang Pas sibuk rancang pembahagian kerusi PRU-15 ketika rakyat berduka diuji banjir
Wargamaya hari ini menyelar tindakan parti Pas yang sibuk membincangkan hal pembahagian kerusi pilihanraya ke-15 berbanding membincangkan bagaimana membantu mangsa banjir sedang berduka ketika ini meneruskan kehidupan mereka.
Menurut laporan portal akhbar FMT, Majlis Syura Ulama PAS telah bersidang malam tadi dan bersetuju supaya perundingan kerusi antara parti-parti Melayu Islam perlu dilaksanakan bagi mengelak pertembungan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Umum ke-15.
Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin berkata, langkah itu bagi memastikan kemenangan besar kerusi majoriti Melayu Islam.
“Perundingan kerusi antara parti-parti Melayu Islam perlu dilaksanakan semaksimumnya bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru dalam PRU ke-15, dan bagi mendapat kemenangan dengan majoriti besar,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, Majlis Syura Ulama PAS juga memutuskan untuk parti Islam itu memperkasakan Muafakat Nasional (MN) bersama Umno dan Perikatan Nasional (PN) yang turut disertai Bersatu.
“Ia sebagai usaha menyatukan kuasa politik umat Islam demi maslahat terbaik buat Islam dan negara. Semangat Ta’awun Siyaasi dalam MN dan PN juga hendaklah sentiasa disuburkan oleh pimpinan dan ahli parti-parti politik Melayu Islam dengan pertemuan bersemuka dan bermusyawarah secara berterusan.
“Masing-masing hendaklah sentiasa berlapang dada, saling memaafkan dan mengelak dari menjadikan media terbuka termasuk media sosial sebagai medium perantaraan bagi menyelesaikan krisis dan pertikaian,” katanya.
Sebelum ini, hubungan dalam MN mula dipersoal apabila PAS memutuskan untuk bertanding menggunakan lambang PN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Ia bermula apabila Presiden PAS, Abdul Hadi Awang sebelum ini berkata, PAS menolak MN yang diasaskan bersama Umno pada 2019 kerana parti tunjang Barisan Nasional itu tidak mahu menerima Bersatu, yang menjadi sekutu PAS dalam PN.
Hadi membayangkan Umno sudah “lari” daripada piagam MN apabila “mahu PAS dan parti mereka sahaja dalam MN”.
Susulan kenyataan Hadi, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan tindakan Presiden PAS itu mempersoalkan keikhlasan Umno menjayakan MN sebagai “alasan politik ibarat menukar fatwa mengikut selera politik”.