Youtuber terkenal, 3 rakan ditahan atas dakwaan membunuh

Youtuber terkenal, 3 rakan ditahan atas dakwaan membunuh

Kedatangan Youtuber bersama kekasihnya ke negeri ini untuk melakukan penggambaran bagi kandungan YouTube milik rakan mereka berakhir dengan insiden berdarah selepas wanita itu mati dibunuh.

Wanita berusia 21 tahun yang menetap di Melaka itu dilaporkan meninggal dunia pada 3 April lalu selepas 14 jam bertarung nyawa akibat dipukul menggunakan objek tumbul hampir di keseluruhan badannya.

Mengikut laporan MalaysiaGazette, pasangan kekasih itu datang dari ibu kota untuk penggambaran kandungan Youtube rakan mereka pada 27 Mac lalu dan dibenarkan tinggal di rumah sewa rakan tersebut yang juga seorang Youtuber sehingga selesai penggambaran.

Bagaimanpun, berlaku perselisihan faham antara suspek dengan kekasihnya pada 2 April lalu selepas dia mendapati wanita tersebut curang dengan rakannya sebelum wanita itu dipukul.

Akibat pukulan itu, mangsa dikatakan tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke Hospital Balik Pulau pada jam 4 petang.

Namun berdasarkan keadaan mangsa doktor mengarahkan dia dibawa ke Hopsital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut.

Difahamkan, doktor membuat laporan polis selepas melihat keadaan mangsa yang mempunyai kesan pukulan lama dan baru.

Mangsa gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia pada jam 6 pagi di HPP pada 3 April sebelum pihak polis memberkas suspek utama tersebut pada hari yang sama bagi membantu siasatan.

Susulan itu, pihak polis turut menahan tiga lagi lelaki berusia 23 hingga 28 yang juga rakan suspek di sekitar Teluk Kumbar bagi membantu siasatan.

Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

Difahamkan, tiga termasuk suspek utama merupakan bekas pelajar Henry Gurney yang dibebaskan pada tahun 2020.

Selain itu, mereka juga dikatakan mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal mengesahkan kes serta tangkapan tersebut.