Zahid puas berjaya gembirakan Haron Din
Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berkata hubungan parti itu dan PAS masih baik walaupun berbagai interpretasi dilakukan pihak tertentu.
“Saya tahu ramai tertanya-tanya mengenai status terkini Muafakat Nasional (MN) yang dipelopori Umno dan PAS pada tahun 2019.
“Bagi menjelaskan persoalan tentang kedudukan MN yang dimeterai Umno dan PAS pada 2019, apa yang boleh saya katakan adalah hubungan kedua-dua parti masih baik walaupun terdapat pelbagai interpretasi di luar,” katanya dalam catatan di Facebook.
Kenyataan presiden Umno itu dibuat di tengah hubungan tegang parti itu dan Bersatu serta ketidakpastian mengenai hubungannya dengan PAS.
Zahid dalam tulisannya turut mengimbas pesanan bekas pemimpin PAS, Allahyarham Dr Haron Din ketika menemui tokoh berkenaan selepas dia ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1998.
“Beliau (Haron Din) menyatakan betapa hasratnya melihat Umno dan PAS dapat berkongsi fikrah antara satu sama lain meskipun walau tidak bergabung sebagai sebuah parti suatu hari nanti.
“Saya secara peribadi menganggap hasrat itu sebagai wasiat Allahyarham Tuan Guru kepada saya apabila beliau kembali ke rahmatullah pada tahun 2016
“Syukur allhamdulillah wasiat itu dapat ditunaikan melalui pemeteraian Piagam Muafakat Nasional di Dewan Merdeka, dewan utama Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 14 September 2019,” katanya.
Krisis antara Umno dan Bersatu kebelakangan ini dilihat semakin meruncing.
Terbaru, pemimpin Bersatu menggesa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) menyiasat dakwaa bahawa Umno mempunyai akaun bank rahsia yang tidak diaudit dan melanggar Akta Pertubuhan.
Zahid juga sebelum ini mendakwa peruntukan parlimen untuk dirinya dan tiga ahli parlimen Umno yang lain dikurangkan dari RM3.7 juta setahun kepada RM100,000.
Mesyuarat Tertinggi Umno sebelum ini menetapkan bahawa usul untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu dan mempertahankan kerjasama dengan PAS akan dibawa ke Perhimpunan Agung parti itu akan datang.
PAS tidak menyatakan pendiriannya dengan jelas untuk berpihak kepada mana-mana parti namun menunjukkan kecenderungan kepada Bersatu selepas menyertai PN.
Ini termasuk keengganannya membentuk kerajaan negeri Perak pada Disember lalu setelah Umno menjatuhkan menteri besar dari Bersatu, Ahmad Faizal Azumu.
Hal itu hanya diselesaikan setelah Zahid memohon maaf kepada Bersatu dan PAS. – MK