Zalim!!! Setelah berhabis duit membuat persediaan berniaga, kerajaan Kelantan umum pembatalan operasi bazar Ramadhan
Angkatan Wanita Amanah Kelantan (Awan) mahu kerajaan negeri mempertimbangkan semula keputusan menutup bazar Ramadan di negeri ini kerana ia memberi kesan kepada peniaga yang terlibat.
Ketuanya, Dr Hafidzah Mustakim berkata, kebanyakan peniaga sudah membuat persiapan awal sejak seminggu lalu, termasuklah membuat bayaran untuk urusan perniagaan sepanjang tempoh bulan puasa.
“Kalau boleh pihak kerajaan negeri pertimbangkan balik. Kami faham kenapa tindakan ini dilakukan cuma perlu berikan mereka sedikit ruang untuk bernafas. Dengan kerugian yang mereka hadapi ini, bukan mudah untuk diselesaikan,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Kerajaan Kelantan pada Ahad secara terbuka memohon maaf kepada seluruh peniaga susulan membatalkan bazar Ramadan secara ‘mengejut’ yang berkuatkuasa serta-merta.
Permohonan maaf itu disampaikan oleh Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin dalam sidang akhbar yang berlangsung di pejabatnya.
Pada sidang akhbar itu, Dr Izani dipetik sebagai berkata, pembayaran deposit bazar Ramadan yang dibuat oleh peniaga sebelum ini akan dikembalikan semula dan pembatalan bazar Ramadan itu dibuat selepas mengambil kira situasi semasa pandemik Covid-19 ketika ini.
Mengulas lanjut, Dr Hafidzah berkata, pihaknya mencadangkan agar kerajaan mengadakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) secara bersasar di beberapa daerah yang berada dalam zon merah.
Katanya, kawasan-kawasan tersebut melibatkan kawasan atau lokasi yang telah dikenalpasti sebagai ‘hot spot area’.
“Bila kawasan-kawasan tertentu sahaja yang terlibat, ia boleh beri kelegaan sedikit kepada peniaga. Kalau tutup semua, mereka berdepan pelbagai masalah nanti.
“Selain itu boleh buat larangan khusus untuk ibu bapa dan anak-anak yang mahu ke bazar Ramadan. Mungkin ketua keluarga seorang sahaja yang dibenarkan keluar.
“Banyak cara lain untuk kerajaan perketatkan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada. Bagi kita yang bekerja dengan syarikat dan kakitangan awam, tidak jadi masalah kalau bazar tutup, tapi peniaga lain, itu sahaja sumber rezeki mereka,”katanya.
Awan Kelantan juga menyeru kerajaan pertingkatkan usaha pendidikan kepada rakyat Kelantan untuk mendaftar dalam program imunisasi kebangsaan Covid-19 yang sedang dibuka sekarang.
Katanya, menyedihkan kerana Kelantan menjadi negeri kedua tercorot pendaftaran vaksin Covid-19 menandakan tahap kesedaran penyakit ini masih di tahap yang perlu di pertingkatkan. – SH