10 kisah inspirasi usahawan tempatan yang boleh kita pelajari, sangat bernilai kepada mereka yang baru nak jadi usahawan

PENGAYUH sayang dibasahkan, sampan takkan sampai ke seberang.
Untuk membina perniagaan bukanlah satu perkara mudah. Hakikatnya, jika tidak mahu mencuba atau berani menempuh cabaran, belum pasti kejayaan akan dikecapi.
Berikut adalah 10 kisah inspirasi dan tip daripada usahawan tempatan yang wajar dijadikan contoh buat anda yang mula mahu berjinak-jinak dalam dunia perniagaan.
Perkasa teknik perniagaan – Adnan Abd Aziz
Adnan, 46, adalah pengusaha Humaira Design yang memulakan perniagaan tudung sekitar tahun 2005 di ekspo dan pasar malam di sekitar Perak.
Kemudian, beliau mula fokus untuk menjual pakaian Muslimah secara borong kepada usahawan lain.
“Tahap kesedaran wanita muslimah masa kini untuk tampil dengan fesyen yang patuh syariah semakin meningkat tetapi untuk segmen pakaian harian dan aktif masih lagi kekurangan pilihan yang berkualiti pada harga yang berpatutan,” kata Adnan.
Oleh itu, pada tahun 2012 beliau mengambil insiatif menghasilkan sendiri baju T Muslimah dengan mengutamakan kualiti material yang tidak panas, serap peluh, lembut, tidak mengembang serta mengecut dan tidak nipis.
“Persaingan dalam bisnes adalah perkara lumrah. Untuk terus bersaing secara sihat, kami memilih untuk memperkasa Unique Selling Point (USP) perniagaan seperti sentiasa mengeluarkan rekaan baharu dan menarik, menjaga kualiti produk supaya sentiasa berada di tahap terbaik, menguatkan penjenamaan melalui pengiklanan serta mengekalkan harga yang kompetitif,” katanya.
Konsisten jaga kualiti produk – Mohammad Hasri Yusri
Berasal dari Alor Setar, Mohammad Hasri, 25, mengusahakan perniagaan Desa Ville Jus Durian Belanda.
Antara cabaran ditempuhi ketika memulakan produk Jus Durian Belanda ialah persaingan dengan syarikat ternama yang sudah bertapak lebih awal dan juga untuk mendapatkan kepercayaan pelanggan.
“Oleh itu, kami harus memastikan rantaian pengeluaran yang kemas dan konsisten dalam menjaga kualiti produk supaya menepati kehendak pelanggan. Malah, kami harus sentiasa peka dengan keperluan dan permintaan semasa,” kata Hasri.
Mantapkan diri dengan ilmu keusahawanan – Noraini Ahmad
Berbekalkan semangat untuk menambah pendapatan demi membesarkan lima anak, Noraini, 65, mula berniaga kuih tradisional secara kecil-kecilan di kawasan kejiranan.
Kemudian, beliau mendapat kontrak untuk membekalkan kuih ke hotel bertaraf lima bintang di Kuala Lumpur dan kini jenama Noraini’s Cookies mula menjadi buah mulut orang ramai kerana harganya yang lebih murah berbanding jenama lain.
Tidak hanya bergantung pada produk biskut, Noraini juga mengeluarkan produk tepung adunan segera dengan harga mesra rakyat dan memulakan perkhidmatan Original Equipment Manufacturer (OEM) membuat biskut.
“Modal bukanlah segala-galanya tetapi kalau ada ia satu bonus. Walaupun begitu, dalam perniagaan kena banyak bersabar, kreatif dan fokus dengan tugasan. Kalau boleh, pilih perniagaan yang kurang risiko serta sentiasa mantapkan diri dengan ilmu keusahawanan, pengurusan, pemasaran, waima kemahiran berkomunikasi,” Kata Noraini.
Jangan takut melabur untuk pemasaran – Rosnah Abdullah
Mula mengusahakan perniagaan Rendang Maman sejak tahun 2015, Rosnah, 52, aktif mempromosi Rendang Maman dengan menyertai pelbagai acara seperti Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA), Halal Fest, Program Satu Daerah Satu Industri (SDSI), Fama Fest dan Karnival Usahawan Desa (KuD).
“Produk Rendang Maman adalah makanan tradisi Gemencheh. Rendang Maman menjadi permintaan ramai tetapi tak semua orang pandai buat kerana daun maman akan pahit jika tak pandai memasaknya.
“Antara cabaran dalam perniagaan Rendang Maman ini adalah bekalan stok daun maman yang kadang-kala terputus,” kata Rosnah.
Selain itu, beliau yang juga pernah mewakili Negeri Sembilan ke Malaysia Food Street Thailand ini juga memberitahu, bahawa seseorang peniaga harus belajar cara-cara untuk memasarkan produk dengan lebih meluas dan jangan takut untuk melabur.
Perlu berterusan, perancangan, proaktif , semangat – Chua Hock Tee
Ketua Pegawai Eksekutif Omni Mal, Chua Hock Tee. – FOTO KPDNHEP
Mempunyai Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan dari California State University, Chua Hock Tee, 61, percaya bahawa setiap perniagaan perlu berpegang pada prinsip yang diberi nama “Omni Mal 4P” iaitu Persistency (Berterusan), Planning (Perancangan), Proactive (Proaktif) dan Passion (Semangat).
Apa yang menariknya, produk beliau menawarkan kelainan kepada makanan yang sering kali menjadi fokus hanya pada bulan Ramadan iaitu kurma.
Antara produk unik beliau ialah sirap kurma, kurma berisi coklat, potongan kurma dengan jagung bertih, oat kurma, kurma dilapisi habbatus sauda, pes kurma dan cucur kurma.
Menurut beliau, peniaga perlu mengambil inisiatif bagi menawarkan produk yang berbeza iaitu dengan memasukkan nilai tambah, kepelbagaian kegunaan, pengiktirafan dan pensijilan yang menjamin kualiti dan keselamatan makanan.
“Sepanjang perniagaan, kami menerima pengiktirafan dan sokongan daripada pelbagai agensi kerajaan dan juga institusi luar negara seperti International Gold Star for Quality Award oleh Business Initiative Directions di Geneva, Switzerland.” kata Chua Hock Tee.
Usaha hasilkan produk alternatif mi segera – Muhammad Qutham Khairuddin
Anak keenam daripada sembilan beradik ini menyambung perniagaan keluarga selepas tamat pengajian di Universiti Teknologi MARA (Uitm) jurusan Diploma Teknologi Makanan.
Perniagaan keluarga ini diasaskan oleh ibunya sendiri, seorang doktor perubatan yang memiliki pengalaman lebih 30 tahun merawat pesakit di klinik sendiri.
Ibunya mendapati, antara penyebab penyakit adalah berpunca daripada makanan yang tidak seimbang dan mempunyai bahan tambahan kimia.
“Kami memilih untuk memasarkan Mi Sayur Yumny kerana produk ini adalah alternatif kepada mi segera yang menjadi kontroversi terhadap kandungan karbohidrat yang tinggi serta mengandungi bahan tambahan kimia seperti pewarna dan perasa.
Selain itu, kami sedang berusaha meningkatkan produktiviti serta kualiti supaya dapat menjual produk dengan harga mampu beli. Kami juga sedang mengkaji untuk mengeluarkan produk keperluan khusus berasaskan sayur bagi ibu dan anak,” kata Qutham, 27.
Setiap perniagaan ada jatuh bangun, jangan berputus asa – Elina Hayati Ismail
Berasal dari Kelantan dan mempunyai sembilan beradik, Elina, 45, tidak pernah kenal erti putus asa dalam perniagaan.
Elina adalah seorang pengusaha pes masakan Toksu Shon dan rempah ratus serta makanan laut yang amat mementingkan kualiti produknya.
“Saingan kami adalah pengeluar terkenal dan kami cuba memberi perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan. Bagi kami, perkara paling memuaskan adalah apabila dapat memenuhi kehendak pelanggan,” kata Elina.
Sukar cari pekerjaan, beralih kepada dunia perniagaan – Mohamed Saiful Ezzanee Sofian
Kesukaran mencari pekerjaan membuatkan Saiful, 27, mula menceburi bidang perniagaan.
Dengan dorongan ibu bapanya, Saiful sentiasa mencari idea untuk mengeluarkan produk sendiri.
Justeru, lahirlah produk pertama beliau iaitu Keropok Segera Sea Fresh. Malah, beliau juga berjaya menghasilkan kepingan daging burger yang akan dilancarkan tidak lama lagi.
“Apabila mula berniaga, saya akui pelbagai yang dipelajari mengenai kesabaran dan tawakal. Ibu dan ayah saya banyak memberi sokongan dalam perniagaan. Banyak cabaran saya harus tempuhi, terutamanya daripada segi kewangan, tenaga kerja dan situasi ekonomi yang kurang memuaskan” kata Saiful, 27.
Komersialkan resipi sambal turun-temurun – Shadhana Sekarran
Mempunyai ijazah dalam bidang perniagaan daripada Universiti of Northumbria, United Kingdom, Shadhana Sekarran, 36, adalah pengusaha bagi perniagaan Sambal Langgri.
“Sambal ini adalah resipi turun-temurun keluarga kami. Seorang sahabat yang juga usahawan mahu membeli resipi kami selepas merasa keenakan sambal dihidangkan kepadanya. Daripada peristiwa itu, kami yakin bahawa Sambal Ikan Kurau ada potensi untuk dipasarkan,” kata Shadhana.
Antara cabaran yang dihadapi oleh Shadhana adalah daripada segi proses pengilangan dan kewangan. Malah, beliau juga mempunyai masalah memasarkan produk di pasar raya kerana pada masa itu beliau hanya mempunyai satu jenis sambal tetapi syarat untuk mendapatkan penempatan di pasar raya memerlukan sekurang-kurangnya dua jenis sambal.
Sehingga kini, Le Langgri Foods Sdn Bhd mempunyai lima jenis sambal yang unik dan lain daripada sambal lain di pasaran, terutamanya Sambal Ikan Kurau serta Sambal Mangga.
Cari jalan penyelesaian – Norul Fishah Damanhuri
Mula berkecimpung dalam dunia perniagaan pada usia muda, Norul, 44, memiliki beberapa jenis perniagaan dalam pelbagai jenis industri. Terkini, Noreka Inner menjadi bualan ramai.
“Sasaran pengguna produk ini sangat besar. Daripada lingkungan kanak-kanak berumur empat tahun sehingga nenek berusia 90 tahun. Kajian selama empat bulan dilakukan dengan teliti bagi mencari penyelesaian bagi masalah yang seringkali berlaku kepada produk inner sedia ada.
Cabaran utama yang saya hadapi ialah kekurangan rujukan bahan mentah di Malaysia. Kami terpaksa membuat kajian daripada luar dan membeli sampel yang banyak untuk memastikan bahan mentah utama ini dapat memenuhi rekaan bakal dihasilkan,” kata Norul.
Oleh itu, Norul kini berbangga dengan Noreka Inner yang memberi kualiti terbaik kepada pengguna dengan penggunaan material tidak mudah rosak, tidak kembang sehingga 360 kali cucian mesin, lembut dan tidak panas.
Sokong barangan buatan usahawan tempatan
Menerusi 10 kisah inspirasi usahawan tempatan ini, ternyata produk buatan Anak Malaysia tidak kurang hebatnya.
Oleh itu, marilah kita bersama-sama menyokong Kempen Beli Barangan Malaysia oleh Kementerian dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sekaligus membeli produk keluaran Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).