10 ribu enggan hadir suntikan vaksin, dakyah antivaksin berjaya di negeri Kelantan
Hampir 10,000 penduduk di Kelantan dengan sebahagian besar berusia 60 tahun ke atas dikesan gagal hadir menerima suntikan vaksin sehingga semalam.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin, berkata antara puncanya ialah masalah kesihatan selain menunda tarikh suntikan.
Katanya, ada yang gagal hadir kerana mempunyai masalah peribadi dan ramai juga tidak memberi alasan kepada Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
“Semua yang tidak hadir mendapat suntikan vaksin adalah mereka yang berdaftar bagi fasa kedua.
“Apabila kita mendapat senarai sehari atau dua hari sebelum janji temu, kita akan menghubungi setiap individu untuk mengenal pasti sama ada mereka boleh hadir atau tidak pada masa ditetapkan.
“Bagaimanapun, bukan semua dapat dihubungi kerana terlalu ramai yang mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera.
“Ada juga dalam kalangan mereka yang tidak menjawab panggilan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Dr Zaini berkata, mereka yang mahu menunda tarikh atau mengubah lokasi PPV perlu menghubungi hotline MySejahtera bagi pertukaran itu.
Katanya, pihaknya akan menghubungi individu lain bagi menggantikan mereka yang tidak dapat hadir untuk pada tarikh asal janji temu sebagai langkah mengelak pembaziran bekalan vaksin.
“Setakat ini, PPV dibuka di Kota Bharu, Pasir Puteh, Jeli, Machang, Kuala Krai dan Bachok.
“Sehingga semalam, lebih 340,000 individu mendaftar melalui MySejahtera tetapi angka berkenaan dilihat masih rendah,” katanya. – BH