11 ribu pelajar di UMK dapat nikmat hidangan Menu Rahmah

11 ribu pelajar di UMK dapat nikmat hidangan Menu Rahmah

 

Lebih 11,000 pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) terutamanya mereka dalam kategori B40 berpeluang menikmati hidangan Menu Rahmah bagi meringankan beban kenaikan kos sara hidup, kata Naib Canselor UMK Prof Datuk Dr Razli Che Razak.

Beliau berkata Menu Rahmah bukan sahaja dinikmati oleh semua pelajar yang sedang mengikuti pengajian di tiga kampus UMK iaitu Bachok, Kota dan Jeli malah warga kerja di universiti berkenaan turut berpeluang memperoleh manfaat itu.

“Bagi kampus Bachok, menu itu akan diperkenalkan hari ini, manakala kampus Kota dan Jeli akan diadakan dalam tempoh terdekat,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan Menu Rahmah di kampus UMK Bachok, di sini hari ini.

Katanya, sambutan dalam kalangan pelajar dan warga UMK cukup memuaskan, malah pihaknya akan terus bekerjasama menjayakan usaha itu termasuk memotong kadar sewa bulanan kepada penyedia makanan bagi mengurangkan kos jualan makanan.

Pelajar Ijazah Seni Bina Landskap Mohd Izham Zahari Abdullah, 23, berkata program berkenaan dapat membantu pelajar yang tidak berkemampuan menghadapi situasi semasa yang semakin mencabar kerana dapat menjimatkan perbelanjaan harian.

“Sebelum ini, saya terpaksa membeli makanan sekitar RM16 sehari tetapi mulai hari ini, harga Menu Rahmah RM4.90, jadi saya boleh menikmati hidangan nasi putih, pelbagai lauk pilihan, sayuran dan segelas air sirap,” katanya.

Pelajar Ijazah Pengajian Warisan Muhammad Adam Ya’acob, 23, pula berkata program seperti itu adalah satu rahmat buatnya sebagai pelajar yang kurang berkemampuan untuk menampung perbelanjaan seharian.