17 jenis duit syiling paling mahal yang pernah dijual, no.1 tu harganya sangat mengejutkan

17 jenis duit syiling paling mahal yang pernah dijual, no.1 tu harganya sangat mengejutkan

 

Di dalam artikel ini adalah senarai Top 17 duit syiling Malaysia termahal yang pernah dijual didalam acara lelongan awam.

senarai ini hanya melibatkan syiling “MALAYSIA” dan tidak melibatkan syiling-syiling zaman penjajah British dan sebagainya.

Kadar pertukaran mata wang asing untuk lelongan wang luar negara adalah berdasarkan nilai tukaran asing semasa syiling tersebut dilelong.

Kepada bukan collector, mohon jangan salah faham. Walaupun kebanyakkan syiling yang ada didalam senarai ini adalah syiling yang anda boleh temui didalam poket seluar anda (syiling 50 sen 1967, 1968 atau 1969).

Tidak bermakna syiling anda juga mempunyai harga yang tinggi seperti yang ada didalam senarai ini.

Sila “Rajin membaca” mencari maklumat kenapa syiling-syiling ini berharga mahal.

TOP 17 DUIT SYILING MALAYSIA TERMAHAL

1. Syiling pattern Malaysia 1966 dilelong RM743,731

Pada 10 Mac 2015, Syiling pattern Malaysia 1966 yang dilelong oleh Collectibles Auction Asia (CAA) di Singapura berjaya terjual pada harga SG$210,000. Jumlah keseluruhan termasuk premium pembeli sebanyak 15% adalah SGD241,500 atau RM743,731. Set 10 keping duit syiling yang dilelong sebagai lot 247 didalam acara lelongan ke-6 Collectibles Auction Asia ini adalah sebahagian daripada rekabentuk yang dihasilkan oleh peserta Pertandingan Mereka Syiling Kebangsaan yang di anjurkan oleh Arts Council of Malaysia bagi Pihak Bank Negara Malaysia pada awal tahun 1966. Untuk maklumat lanjut, sila baca artikel ini: Syiling Malaysia 1966 terjual RM743,731 di Singapura.

2. 50 sen 1969 Milled Edge NGC MS65 dilelong RM81,846

Pada 4 Oktober 2014, Duit syiling 50 sen 1969 tanpa sisi sekuriti (Milled Edge) yang telah digred MS65 oleh Syarikat Pengredan dari Amerika Syarikat, Numismatic Guaranty Corporation (NGC) telah dilelong RM81,846 (termasuk premium pembeli) didalam satu acara lelongan numismatik oleh Collectibles Auction Asia (CAA) di Singapura. Gred MS65 adalah gred yang terbaik setakat ini untuk duit syiling 50 sen Milled Edge 1969. Selain syiling ini, ada sekeping sahaja syiling 50 sen 1969 Milled Edge yang mendapat gred MS62, syiling kedua terbaik untuk kategori syiling ini. Pembeli duit syiling itu adalah seorang collector dari Singapura. Anda boleh baca dengan lebih lanjut mengenainya disini: 50 sen 1969 Milled Edge sold RM81,846.

3. 50 sen 1969 Milled Edge PCGS MS 66 dilelong RM73,193

Pada 22 April 2016, sekeping syiling 50 sen 1969 Milled Edge (sisi bergerigi) dilelong pada harga RM73,193 (termasuk premium pembeli) di Collectibles Auction Asia (CAA) Auction 7, Singapura. Pada ketika ini, duit syiling itu adalah syiling 50 sen 1969 Milled Edge yang mempunyai gred paling tinggi untuk syiling 50 sen 1969 Milled Edge. Anda boleh membaca cerita lanjut di sini; 50 sen 1969 Milled Edge dilelong RM73,193.

4. Syiling pruf Malaysia keluaran khas terjual RM69,587

Pada 8 Oktober 2016, set Duit syiling pruf Malaysia keluaran khas yang diberikan kepada kakitangan Bank Negara Encik Hew Weng Kai (1958-1985) telah terjual pada harga RM69,587 (termasuk premium pembeli). Sehingga ke hari ini, hanya ada 5 set syiling pruf Malaysia keluaran khas yang telah direkodkan.

Set syiling pruf itu mengandungi:
Sekeping syiling 5, 10, 20, 50 sen copper nickel peruf dan 1 sen copper peruf tahun 1967.
Sekeping syiling 1 Ringgit 1971 copper nickel peruf.
Sekeping syiling peringatan 5 Ringgit copper nickel peruf Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman.
Sekeping syiling peringatan 1 Ringgit peruf perak 10 tahun Bank Negara.
Sekeping syiling peringatan RM100 peruf emas Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman.
Sekeping syiling peringatan 1 Ringgit copper nickel peruf 1972 Bandaraya Kuala Lumpur.

Maklumat lanjut mengenainya boleh dibaca di artikel: Malaysia Proof set coins sold for RM69,587.

5. Syiling pruf Malaysia keluaran khas terjual RM66,568

Syiling peruf Malaysia keluaran khas yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk anugerah perkhidmatan kakitangan keselamatan Bank Negara berjaya dilelong pada harga RM66,568 (termasuk premium pembeli) Pada 22 April 2016. Set duit syiling peruf tersebut yang dilelong semasa Collectibles Auction Asia (CAA) Auction 7 dikeluarkan untuk ENCIK ABU BAKAR BIN MAT DAUD.

6. 1 sen 1970 Copper Clad Steel NGC MS63 RB dilelong RM46,769

rare coin

Pada 4 Oktober 2014, syiling 1 sen 1970 Copper Clad Steel NGC MS63 RB yang dilelong didalam acara lelongan Collectibles Auction Asia (CAA) yang sama seperti di atas turut mendapat harga penutup yang tinggi pada harga RM46,769 termasuk premium pembeli. Pada masa ini, hanya ada 4 keping syiling 1 sen 1970 Copper Clad steel yang telah direkodkan. Syiling 1 sen 1970 yang normal adalah diperbuat daripada copper berbanding dengan syiling ini daripada copper clad steel yang melekat pada magnet.

7. Set syiling Hidupan Liar 1976 dilelong RM40,089

Satu set duit syiling Pemuliharaan Hidupan Liar 1976 dilelong pada harga RM40,089 (termasuk premium pembeli) didalam satu acara lelongan awam oleh Collectibles Auction Asia (CAA) di Hotel Landmark Village, Singapura pada 5 Oktober 2019. Set 3 keping duit syiling tersebut (Lot 0284) dilelong bersama-sama dengan kotak serta sijil pengesahannya yang asal didalam acara lelongan CAA 14/2019.

8. Set syiling peringatan WWF 1976 peruf dilelong RM37,240

syiling 1976 peruf

Satu set syiling Pemuliharaan Hidupan Liar 1976 peruf dilelong pada harga SG$13,800 (termasuk premium pembeli) atau RM37,240 di dalam acara lelongan yang dijalankan oleh Collectibles Auction Asia (CAA) di Hotel Landmark Village, Singapura pada 18 April 2015. Set tersebut mengandungi 3 keping syiling; syiling peringatan emas 500 Ringgit Peruf Cipan/ Tapir, syiling peringatan perak 25 Ringgit Peruf Enggang dan syiling peringatan perak 15 Ringgit Peruf Seladang. Kesemua syiling itu di gred PF69 Ultra Cameo oleh Numismatic Guaranty Corporation (NGC).

9. 100 ringgit emas peruf Tunku Abdul Rahman 1971 NGC PF 66 Ultra Cameo dilelong RM23,180

Pada 14 Jun 2015, sekeping syiling Peruf 100 Ringgit emas Tunku Abdul Rahman 1971 NGC PF 66 Ultra Cameo telah berjaya dilelong pada harga RM23,180 (termasuk 15% premium pembeli dan 6% GST ke atas premium pembeli) di acara lelongan yang di anjurkan oleh MNP Auctioneers di Hotel Istana, Kuala Lumpur. Syiling Peruf 100 Ringgit emas Tunku Abdul Rahman Al-Haj 1971 amat sukar dicari kerana hanya ada 500 keping sahaja yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia.

10. 50 sen 1968 Milled Edge NGC MS66 dilelong RM19,942

Pada 19 April 2014, didalam acara lelongan oleh Collectibles Auction Asia (CAA)di Hotel Landmark Village, Singapura, sekeping syiling 50 sen 1968 Milled Edge (sisi bergerigi) telah dilelong pada harga RM19,942 (termasuk premium pembeli). Duit Syiling 50 sen 1968 Milled Edge yang dilelong pada harga SGD6500 (tanpa premium pembeli) tersebut adalah gred yang terbaik untuk syiling 50 sen 1968 Milled Edge didalam rekod Numismatic Guaranty Corporation (NGC) pada gred MS66. Duit syiling itu juga adalah koleksi Master Sifu Wong Hon Sum.

11. Syiling Peruf 500 Ringgit emas Tapir PCGS PR69 DCAM dilelong RM18,403

Pada 26 Oktober 2012, sekeping syiling Peruf 500 Ringgit emas peruf Tapir dengan gred PCGS PR69 DCAM dilelong pada harga SG$6400 atau RM18,403 termasuk dengan premium pembeli. Acara lelongan itu dilakukan oleh Monetarium Auction di Singapura.

12. Syiling 500 Ringgit emas Tapir NGC MS68 dilelong RM18,403

Pada 25 Oktober 2014, semasa acara lelongan Monetarium Auction yang ke 14 di Singapura, sekeping syiling 500 Ringgit emas Tapir bukan peruf dengan gred NGC MS68 dilelong RM18,403 termasuk premium pembeli. Syiling tersebut adalah yang terbaik grednya untuk syiling 500 Ringgit tapir bukan bukan peruf.

13. 1 sen 1970 Copper Clad Steel dilelong RM13,200

Sekeping syiling 1 sen 1970 Copper Clad Steel yang telah di gred oleh Numismatic Guaranty Corporation (NGC) sebagai MS 62BN berjaya dilelong pada harga RM13,200 (termasuk premium pembeli) didalam acara lelongan Trigometric Auction 10/2019 yang diadakan pada 24 Oktober 2019 di Hotel Hilton Petaling Jaya.

14. Syiling Peringatan emas pruf LIMA terjual RM12,750

Pada 16 Oktober 2016, 1 set syiling peringatan 100 Ringgit emas pruf Langkawi International Maritime & Aerospace (LIMA) telah terjual pada harga RM12,750 (termasuk premium pembeli & gst) di acara lelongan Trigometric Auction 4, Petaling Jaya. Hanya 50 keping pengeluaran yang dibenarkan oleh Bank Negara Malaysia untuk Syiling Peringatan emas pruf LIMA ini yang dikeluarkan pada tahun 2003.

15. Syiling Peringatan emas Millenium 2000 terjual RM11,010

1 set Syiling Peringatan emas Millenium 2000 yang dilelong di acara lelongan Trigometric Sdn Bhd kali kedua pada 18 Oktober 2015 telah terjual pada harga RM11,010 (termasuk premium pembeli & gst). Syiling yang dibuat sempena memperingati kedatangan alaf baru ini mempunyai nilai muka RM500 dan diperbuat daripada emas tulen 999.9 dengan kualiti pruf.

16. 50 sen 1969 Milled Edge NGC AU55 dilelong RM10,253

Pada 19 Oktober 2013, sekeping Syiling 50 sen 1969 Milled edge telah terjual dengan harga RM10,253 (termasuk premium pembeli) didalam satu acara lelongan yang diadakan oleh Numismatic Society Asia (NSA) di Hotel Landmark Village, Singapura. Syiling itu digred oleh Numismatic Guaranty Corporation (NGC) sebagai Au- 55. Khabar angin mengatakan, syiling itu telah dibeli oleh orang yang turut memenangi Syiling 50 sen 1969 security edge ketika lelongan Malaysia Numismatic Society (MNS) No.157 pada 29 September 2013 di Jabatan Muzium, Muzium Negara, Kuala Lumpur.

17. Syiling 500 Ringgit emas Tapir NGC MS63 dilelong RM10,350

Syiling 500 Ringgit emas Tapir NGC MS63 di lelong semasa acara lelongan yang di adakan oleh Trigometric Sdn Bhd pada 15 Mac 2015. Syiling emas bukan peruf ini telah berjaya dilelong pada harga RM10,350 termasuk premium pembeli. Acara lelongan tersebut juga adalah acara lelongan pertama yang dilakukan oleh Trigometric di Serunai Suite, Hilton Hotel, Petaling Jaya.

PERINGATAN KEPADA BLOGGER
Kepada rakan-rakan blogger, mohon jangan memberikan maklumat yang salah dengan mencuri artikel ini dan kemudiannya meletakkan gambar syiling anda di dalam artikel anda. Maklumat salah begini memberikan anggapan salah berkenaan numismatik di Malaysia. Jangan tulis mengenai syiling 50 sen berparit berharga mahal, jika anda tak faham syiling apa yang kami maksudkan. Belajarlah menjadi blogger yang beretika, dah copy artikel, tolong beri link kepada penulis artikel yang asal. Kami akan membuat laporan kepada Google DMCA untuk blogger yang membuat Copy Paste artikel tanpa menyertakan link artikel asal.