18 kematian di luar hospital, Kedah berdepan saat paling kritikal urus pesakit Covid-19

18 kematian di luar hospital, Kedah berdepan saat paling kritikal urus pesakit Covid-19

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah merekodkan 18 kes kematian sebelum tiba di hospital (BID) akibat COVID-19 sepanjang tempoh 25 hingga 31 Julai lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman, berkata 18 kes BID itu termasuk 31 kes kematian akibat virus berkenaan di negara ini bagi tempoh sama.

Beliau berkata, kes itu berkemungkinan berlaku kerana pesakit lewat mendapatkan rawatan atau tiada gejala dijangkiti COVID-19.
“Situasi ini amat membimbangkan, apatah lagi dengan kehadiran varian Beta dan Delta yang cepat merebak dan lebih teruk.

“Varian ini bukan saja membahayakan golongan warga emas dan berisiko tinggi, malah juga golongan muda berusia bawah 40 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Mohd Hayati berkata, bagi tempoh sama sebanyak 8,370 kes baharu COVID-19 dilaporkan dengan 4,170 kes membabitkan saringan kontak rapat dan 1,795 kes adalah kes dalam kluster yang aktif.

“Setakat ini masih terdapat kira-kira 20 peratus penduduk di negeri ini yang layak menerima vaksin belum mendaftar untuk menerima suntikan.

“Sehingga semalam, seramai 577,148 daripada lebih 1.54 juta individu dewasa berusia 18 tahun ke atas sudah mendapatkan satu dos vaksin, manakala 298,611 lagi lengkap dua dos suntikan.

“Dijangkakan pada hujung bulan ini kira-kira 40 peratus penduduk Kedah yang layak divaksin akan menerima vaksin lengkap,” katanya.

Sumber – Berita Harian