18 tahun kahwin pilihan keluarga, suami bagi alasan poligami baru jumpa ‘cinta sebenar’

18 tahun kahwin pilihan keluarga, suami bagi alasan poligami baru jumpa ‘cinta sebenar’

 

Bila tengah angau mabuk bercinta macam-macam alasan boleh diberikan untuk kahwin lain apabila berjumpa perempuan lain. Isteri yang berbelas tahun dikahwini dan dikurniakan anak berderet bukan lagi ‘cinta’ selama ini.

Seorang wanita berdepan ujian apabila suaminya yang dikahwini sejak belasan tahun dahulu atas pilihan orang tua, mahu berkahwin lain dengan alasan sudah menemui cinta sebenar.

Bukan itu sahaja, suaminya juga tidak kisah berpisah dengannya sekiranya wanita itu tidak menerima poligami tersebut biarpun pasangan itu telah dikurniakan tujuh anak.

Kisah itu diceritakan oleh Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie, Suzana Ghazali pada Facebook Bersama Suzana Ghazali berhubung luahan diterima daripada wanita tersebut.

“Kata suami, dulu dia kahwin dengan saya kerana mengikut kata orang tua. Sekarang dia sudah jumpa cinta yang sebenar. Kalau saya tak nak terima (bermadu), dia tak kisah pun jika berpisah.

“Saya tanya, apa salah saya tapi kata suami, saya tak ada salah apa pun cuma dia dah jumpa cinta yang selama ini dia cari,” katanya menceritakan luahan wanita tersebut.

Beliau berkata, pasangan itu berkahwin atas jodoh dicadangkan ibu bapa sejak 18 tahun yang lalu dan wanita itu mencintai suami sepenuh hati, mendambakan diri sebaiknya sebagai isteri dan ibu kepada tujuh cahaya mata.

“Soalan ditanyakan kepada saya, ‘apakah kerana wanita tak boleh berpoligami maka isteri masih boleh kekal mencintai suami walau berkahwin atas pilihan orang tua.

“Dalam masa sama si suami bukanlah lelaki yang melaksanakan tanggungjawabnya sepenuhnya. Tak bolehkah lelaki juga menerima jodoh itu adalah cinta yang sebenarnya,” katanya.