Rompakan peti besi syarikat logistik, 3 anggota polis antara 6 suspek ditahan

Tiga anggota polis antara enam yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes kecurian sebuah peti besi mengandungi wang tunai berjumlah RM400,000 di sebuah syarikat logistik di sini Rabu lalu.
Ketua Polis Kedah Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata kesemua suspek yang berumur lingkungan 30-an hingga 50-an itu ditahan dalam beberapa tangkapan di rumah dan pejabat di sekitar bandar raya ini antara Rabu hingga semalam.
“Dalam kejadian 1.30 pagi Rabu lalu, syarikat logistik yang memungut wang hasil pembelian secara ‘cash on delivery’ (COD) telah dipecah masuk dan sebuah peti besi yang menyimpan semua wang berkenaan telah dilarikan.
Katanya siasatan mendapati suspek mengumpil pintu utama premis selepas menanggalkan fius utama bekalan elektrik di luar premis sekali gus menyebabkan kamera litar tertutup tidak berfungsi.
Beliau berkata hasil penahanan kesemua suspek itu, polis menemukan wang tunai berjumlah RM263,295 dan percaya baki wang yang dicuri ada di tangan dua lagi suspek yang sedang diburu.
“Tiga orang awam yang ditahan itu didapati positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai rekod jenayah lampau. Kesemua mereka ditahan reman mulai semalam hingga 1 Julai depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Kamarul Zaman berkata bagi tempoh 1 Jun hingga semalam, pihaknya menahan 144 individu yang terlibat dalam pelbagai jenis kegiatan judi menerusi 122 serbuan yang dilakukan di negeri itu.
“Menerusi serbuan ini, pelbagai barangan telah dirampas termasuk wang tunai berjumlah hampir RM65,000. Kita akan sentiasa lakukan operasi bagi memastikan aktiviti perjudian ini dapat dibanteras,” katanya.
Sumber : MalaysiaGazette