2 suspek berjaya larikan diri walaupun polis lepaskan 9 das tembakan ke arah kereta suspek
Polis melepaskan sembilan das tembakan ke arah sebuah kereta selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan dan enggan berhenti sebaik diarahkan polis di ibu negara pagi tadi.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata pemandu kereta itu turut melanggar kenderaan orang awam dalam usahanya melarikan diri.
Tambah beliau, Pejabat Gerakan IPD Sentul menerima maklumat anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) mengesan sebuah kereta yang mencurigakan dari Pintasan Kepong melalui Taman Pusat Kepong sehingga Laman Rimbunan Jalan Kepong pada jam 7.45 pagi.
@buletintv3 TULAR | Kejadian Tembak-Menembak Di Kepong #buletintv3
Anggota URB kemudian mengarahkan pemandu kereta berhenti namun suspek memecut keretanya sehingga melanggar beberapa kenderaan lain.
Suspek turut mengundurkan keretanya dan melanggar anggota URB sehingga motosikalnya mengalami kerosakan selain anggotanya turut cedera.
Bagi mempertahankan diri, anggota URB melepaskan 9 das tembakan ke arah tayar kereta suspek sehingga mengakibatkannya terbabas di tepi jalan.
Kedua-dua suspek bagaimanapun dapat melarikan diri.
Jelas Datuk Seri Mohd Shuhaily, identiti kedua-duanya telah dikenal pasti.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307/353 Kanun Keseksaan
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi mana-mana balai polis terdekat.