226 anggota Bomba dipecat, kesalahan dadah dan khalwat antara yg dilaporkan

226 anggota Bomba dipecat, kesalahan dadah dan khalwat antara yg dilaporkan

Seramai 226 kakitangan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dikenakan tindakan tatatertib termasuk ditamatkan perkhidmatan sejak empat tahun lalu.

Memetik laporan MalaysiaPengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, daripada jumlah itu, 176 tindakan tatatertib dilaksanakan, manakala 50 lagi dibuang kerja sejak 2019 sehingga Jun lalu.

Menurutnya, pada tahun ini sahaja, 22 kakitangan dikenakan tindakan tatatertib manakala enam diberhentikan.

“Tindakan tatatertib melibatkan kesalahan dadah seramai lima orang, tiga salah guna kuasa serta masing-masing satu kes bagi kesalahan ketum, khalwat, gangguan seksual dan disabitkan kes mahkamah.

“Bagi hukuman dibuang kerja pula, seramai enam orang terlibat sehingga Jun tahun ini berbanding 19 orang sepanjang tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Forum Bicara Governans, Integriti Dan Anti Rasuah (BIGIAR) Siri 1 Tahun 2022, Peringkat Zon Selatan JBPM, di sini, hari ini.

Beliau berkata, bagaimanapun statistik masalah integriti jabatan itu menunjukkan penurunan lebih 50 peratus.

“Untuk enam bulan pertama tahun ini, hanya ada 22 kes tatatertib yang direkodkan berbanding 154 kesalahan bagi tiga tahun sebelumnya.

“Antara faktor penurunan adalah hasil daripada gerakan pemerkasaan integriti yang dijalankan jabatan itu sejak 2013 melalui pelbagai gerakan pemerkasaan,” katanya.

Tambahnya, JBPM akan sentiasa memantau statistik kesalahan tatatertib itu bagi membendung berlakunya peningkatan kes terutamanya kesalahan berkaitan dadah.

“Kita harap penurunan ini dapat dikekalkan selain memastikan tiada sebarang kompromi terhadap kesalahan seperti salah guna kuasa, kebocoran, ketirisan, rasuah dan sebagainya,” katanya.