287 kes hari ini! Tertinggi sejak penularan COVID-19 di Malaysia

287 kes hari ini! Tertinggi sejak penularan COVID-19 di Malaysia

Sebanyak 287 kes baharu COVID-19 dicatatkan dalam tempoh 24 jam lepas, jumlah kes harian tertinggi pernah direkodkan sejak permulaan pandemik itu di Malaysia, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata kesemua kes itu adalah penularan tempatan dan perkembangan terbaharu tersebut menjadikan kes terkumpul kini berjumlah 11,771 kes dengan kes aktif sebanyak 1,540 kes.

“Trend peningkatan inilah yang Kementerian Kesihatan (KKM) khuatiri dan diperingatkan hampir setiap hari kepada semua pihak, kerana perkara itu sememangnya selari dengan trend peningkatan jumlah kes dan kematian COVID-19 yang dilihat di seluruh dunia.

“Kes COVID-19 di dunia pada masa kini mencecah sekitar 34.2 juta kes dan jumlah kes harian menunjukkan kenaikan iaitu sekitar 309,000 kes berbanding sebelumnya kira-kira 302,000 kes,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 hari ini.

Beliau berkata tiada kematian baharu akibat COVID-19 dilaporkan dan jumlah kumulatif kes kematian kekal 136 kes.

— BERNAMA