3 lawan 1, tular video pelajar lelaki dibuli rakan sebaya

3 lawan 1, tular video pelajar lelaki dibuli rakan sebaya

Tular di media sosial video seorang pelajar lelaki dibelasah rakan-rakan sebayanya dalam kejadian yang dipercayai berlaku di Kota Samarahan, Sarawak.

Berdasarkan video berdurasi 47 saat itu menunjukkan, mangsa yang memakai baju sukan sekolah berwarna hijau diserang oleh dua rakannya yang bersaiz lebih kecil.

Enggan membiarkan dirinya dibuli, mangsa melawan semula dan sesekali mengejar dua suspek terbabit.

Kejadian itu turut disaksikan beberapa pelajar lain yang hanya sekadar melihat tanpa sedikit pun mahu meleraikan pergaduhan di antara rakan mereka.

Tidak berpuas hati melihat dua pelajar bertubuh kecil itu gagal menumbangkan mangsa, datang seorang lagi suspek bertubuh sederhana menerajang mangsa sebelum menjatuhkannya.

Mangsa dipukul di bahagian muka dan belakang badannya disepak. Dadanya juga disepak oleh pelajar lain, menyebabkan mangsa menangis menahan kesakitan.

Tarikh dan masa kejadian tidak dapat dikenal pasti, tetapi netizen menggesa pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap pelajar-pelajar yang terlibat.