4 sekeluarga dilaporkan hilang, tidak dapat dihubungi selepas bercuti di Pulau Perhentian

4 sekeluarga dilaporkan hilang, tidak dapat dihubungi selepas bercuti di Pulau Perhentian

Susulan kes empat sekeluarga dilaporkan hilang di Pulau Perhentian.

Ibu Pejabat Polis Daerah Besut mengesahkan telah menerima laporan polis bersabit kes itu semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Besut, Supritenden Abdul Rozak Muhammad, empat sekeluarga itu dua anak, bersama adik lelaki dan ibu pengadu tidak dapat dihubungi sejak pagi 30 September lalu sehingga kini.

Siasatan mendapati kesemua mangsa telah pergi ke pulau peranginan itu pada 29 September dan menginap di Senja Bay Resort.

Mereka didapati telah mendaftar keluar pada Sabtu, 1 Oktober, kira-kira jam 8 pagi.

Foto: Ihsan Ah Pek/ Facebook

Siasatan juga mendapati kesemua mangsa ada mengikuti aktiviti snorkeling pada 29 dan 30 september lalu dan pengendali bot memaklumkan telefon ibu dan adik pengadu telah terkena air serta tidak dapat dihidupkan.

Mangsa juga mengatakan akan ke Batu Buruk, Kuala Terengganu setelah keluar dari pulau itu.

Kesemua mangsa menaiki kenderaan jenis Proton Saga BLM berwarna biru muda dengan nombor pendaftaran JRW6380.

Tiga hari lalu, kira-kira jam 8 pagi, empat sekeluarga itu telah menaiki bot dan sampai ke jeti di kuala Besut sejam kemudian.

Bagaimanapun, sehingga kini kesemua mangsa masih gagal dihubungi.

Siasatan masih diteruskan untuk mengesan mereka.

Semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kenderaan yang digunakan mangsa telah bergerak keluar dari pekan Kuala Besut menuju ke arah Jambatan Seberang Kastam, jam 10.06 pagi.

 

Pihak polis menyeru kepada orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan keberadaan kesemua mangsa supaya menghubungi  Pegawai Penyiasat, Inspektor Nur Izzati Arina di talian 017- 3792157 atau Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Besut di talian 09-6956222 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Orang ramai juga diminta tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita tidak benar yang akan mengganggu siasatan.

Empat sekeluarga itu yang datang ke Besut untuk bercuti dilaporkan berasal dari Kluang, Johor.