41 mangsa pelabur Lavida Coin tuntut RM59 juta daripada DS Vida

41 mangsa pelabur Lavida Coin tuntut RM59 juta daripada DS Vida

 

SERAMAI 41 pelabur pelaburan mata wang kripto milik Datuk Seri Vida iaitu Lavida Coin (DSV Crypto Club, LUX Galaxies and VI Profit Galaxy) mengemukakan tuntutan kerugian berjumlah RM59 juta terhadap usahawan kosmetik berkenaan pada Jumaat.

Kesemua yang terbabit membuat tuntutan tersebut selepas mendakwa wang pelaburan serta keuntungan yang dijanjikan tidak dipulangkan kepada mereka sejak 2018.

Sehubungan itu, mereka memfailkan writ saman terhadap Vida atau Hasmiza Othman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bersama tiga lagi rakan kongsinya yang menjalankan Lavida Coin.

Peguam yang mewakili kesemua plaintif iaitu Mohammad Izwan Azmi dari Tetuan Izwan Mazniza Kamil & Associates berkata, writ saman dan pernyataan tuntutan telah diserahkan kepada Vida selaku defendan pertama pada 15 Disember 2022 di Empire Beauty DSV, Angsana Mall, Ipoh, Perak.

Peguam Mohammad Izwan (lima dari kanan) bersama pelabur Lavida Coin yang menuntut wang mereka dikembalikan.

“Pada Ogos 2018, mangsa membuat pindahan wang ke syarikat-syarikat milik Vida dan menurut representasi oleh pihak defendan iaitu Vida dan lain-lain mendakwa Lavida Coin adalah sah dari segi undang-undang, ada kelulusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Bank Negara dan agensi lain.

“Namun menariknya, pada 29 Ogos 2019, SC mengumumkan Lavida Coin dimasukkan ke dalam senarai amaran pelanggan agar tidak membuat pelaburan.

“Sehubungan itu, jika Vida gagal membuat bayaran kemungkinan tindakan akan diteruskan termasuk muflis selain rumah dan harta di sita,” katanya kepada pemberita.

Mohammad Izwan membuat penjelasan itu menerusi sidang media tergempar yang diadakan pada Jumaat.

Dalam pada itu, Mohammad Izwan berkata, writ saman dan pernyataan tuntutan itu juga turut diiklankan di akhbar Berita Harian bertarikh 10 Februari 2023 atas perintah mahkamah berikutan ia tidak dapat diserahkan kepada tiga lagi defendan lain.

Norzainin memberitahu membuat pelaburan sebanyak RM9,900.

Defendan yang dinamakan dalam tuntutan itu adalah Shuhada Ab Aziz, Mohd Kamarul Azmi dan Noordin Sahlam.

“Tarikh pengurusan kes juga telah ditetapkan mahkamah iaitu 4 November 2022, 17 November 2022, 19 November 2022, 4 Januari 2023, 18 Januari 2023, 14 Februari 2023 dan 27 Februari 2023 lalu.

“Bagaimanapun kesemua pihak defendan gagal menghadirkan diri pada kesemua tarikh yang dinyatakan,” katanya.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 20 Mac ini untuk memaklumkan status kes terikini selain memfailkan permohonan taksiran kos oleh pihak mahkamah.

Yuni Astuti pula mengalami kerugian sebanyak RM61,380.

Salah seorang mangsa iaitu Norzainin Zainuddin, 53, berkata, dia membuat pelaburan itu kerana percaya dengan jenama milik Vida malah mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM9,900.

Kata Norzainin, ketika menyerahkan wang berkenaan dia menandatangani dokumen perjanjian dengan kehadiran Vida dan meletakkan seratus peratus kepercayaan kepada usahawan tersebut.

“Saya ada bukti dokumen perjanjian bersama yang ditandatangani di hadapan Vida di Ipoh. Saya percaya dengannya tetapi harapan mendapat pulangan seperti dijanjikan hanya tinggal janji.

Vida didakwa gagal menyelesaikan tuntutan dibuat pelabur.

“Sudah lima tahun kami menunggu tapi tiada apa yang ditunaikan malah semua staf mengelak untuk jawab tentang pelaburan itu dan tidak tahu di mana Vida berada,” katanya.

Manakala seorang lagi mangsa iaitu Yuni Astuti Sutrisno, 42, mendakwa, dia melaburkan wang sebanyak RM61,380 dan masih berharap agar mendapat kembali wang tersebut.

Kata Yuni, wang tersebut sangat besar nilainya apatah lagi ketika ini dia tidak bekerja kerana menjaga suami yang juga Orang Kurang Upaya (OKU).

“Saya perlukan duit itu balik, saya tak dapat kerja memandangkan suami OKU. Saya harap ada jalan untuk mendapatkan kembali wang tersebut,” ujarnya.