5 filem P.Ramlee ini diharamkan tayang di TV yang ramai orang tak tahu

5 filem P.Ramlee ini diharamkan tayang di TV yang ramai orang tak tahu

 

Ramai yang tidak tahu sebab lima filem Tan Sri P. Ramlee yang gagal ditanyangkan di kaca TV di rumah, mungkin ada penyebabnya.

Karya seniman negara Tan Sri P. Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria Teuku Nyak Putih ni memang tak asing lagi di kalangan orang Malaysia kan? Malah filem-filem yang dihasilkannya masih diingati dan boleh ditonton berkali-kali tanpa bosan.

Setiap lapisan masyarakat tidak kira yang tua, muda malah kanak-kanak sekalipun mengenali nama P. Ramlee sebagai tokoh seni teragung alam Melayu.

Di sebalik kemasyhuran nama P. Ramlee tidak semua filem lakonan dan arahannya ditayangkan di kaca televisyen.

Kalau korang nak tahu kenapa, jom baca artikel ni. Min confirm mesti korang pun ada yang tak pernah tengok filem-filem yang disenaraikan ni.

Sabarudin Tukang Kasut (1966)

Filem Sabaruddin Tukang Kasut yang diarahkan oleh P. Ramlee ini sendiri berkonsepkan cerita ‘1001 malam’ yang bertemakan komedi. Dikatakan, filem ini mengandungi banyak sindiran sinis kepada pemerintah tapi boleh dijadikan iktibar untuk penontonnya.

Tapi kenapa cerita ni tak boleh ditayangkan di TV? Difahamkan, filem Sabarudin Tukang Kasut ini mempunyai kualiti yang rendah sehinggakan tahap audio dan visualnya di tahap yang menyedihkan.

Malah, VCD originalnya juga turut diletakkan “Keadan Gambar & Suara Kurang Memuaskan. Harap Maaf.”

Bakti (1950)

Kalau korang nak tahu, filem arahan L. Krishnan ini merupakan filem pertama yang menampilkan P. Ramlee sebagai hero di mana beliau membawa watak sebagai Nasir dan nama ini juga diberikan kepada anak sulungnya yang lahir pada tahun 1953.

Filem ini mengisahkan tentang kisah seorang budak miskin yang dijaga oleh Orang Kaya Ibrahim dengan persetujuan anak perempuannya Sa’adiyah namun dibenci oleh anak lelakinya Hassan.

Cerita ini sebenarnya diadaptasi dari novel Les Misérables tau! Bukan kaleng-kaleng. Pun begitu, filem ini tak dapat ditonton lagi sekarang kerana salinan penuhnya dipercayai telah hilang dan gagal ditemui.

Melanchong Ka-Tokyo (1964)

Melanchong Ka-Tokyo yang diarahkan oleh Ramon A. Estella ini telah dirakamkan di studio Singapura dan Jepun. Walaupun P. Ramlee bukan pelakon dalam filem ini, dia telah dijemput untuk menjadi penyanyi undangan.

Ia mengisahkan tentang Rosnah yang berasal dari Malaysia telah memenangi pertandingan dengan ganjaran melancong ke Jepun yang ditanggung penuh. Filem ini menunjukkan konflik hubungan di antara Rosnah, Kunio (lelaki Jepun) dan Darus.

Namun begitu, salinan filem ini dikatakan telah musnah ekoran banjir yang berlaku di studio Jalan Ampas pada tahun 1966.

Gelora (1970)

Filem ini mengisahkan tentang konflik hubungan kekeluargaan dan percintaan. Namun begitu, filem yang dilakonkan oleh P. Ramlee dan Sarimah ini juga turut memaparkan adegan seksual di antara Sarimah dan kekasih kepada anak perempuannya.

Disebabkan ia memaparkan babak-babak intim yang tak sesuai ditonton oleh kanak-kanak, filem ini tak boleh ditayangkan di kaca TV.

Sitora Harimau Jadian (1964)

Filem yang diinspirasikan dari filem Werewolf of London ini telah dibuat selepas P. Ramlee melawat studio Merdeka yang terletak di sebelah Zoo Negara.

Ia mengisahkan tentang penduduk Kampung Kiambang yang telah diganggu dengan keganasan Sitora Harimau Jadian yang semakin menjadi-jadi. Kerana banyak orang kampung yang telah menjadi mangsa, Dr Afendi telah datang untuk membantu orang di sana sebelum dia sendiri terkena sumpah dan menjadi Anak Sitora.

Difahamkan filem ini tak dapat ditayangkan di kaca TV ekoran mempunyai unsur tahyul yang melampau. Pun begitu, salinan filem ini juga dikatakan telah hilang.