7 punca kereta terbakar dan cara elakkan kebakaran kereta

7 punca kereta terbakar dan cara elakkan kebakaran kereta

 

Menurut statistik kebakaran kenderaan bermotor oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia pada 2018, terdapat sebanyak 2,834 kes kebakaran kenderaan direkodkan melibatkan semua jenis pengangkutan darat dengan 1,724 daripada jumlah keseluruhan kes melibatkan kes kereta terbakar.

Bagaimana dan mengapa kebakaran kereta boleh berlaku? Secara realitinya, kebakaran kereta merupakan kejadian dan insiden yang boleh dielakkan.

Kebakaran biasanya berlaku disebabkan oleh kelalaian atau kecuaian pemilik kenderaan dalam mematuhi aspek penyelenggaraan dan keselamatan kereta.

7 Punca Kebakaran Kereta di Malaysia

Aspek penyelenggaraan dan keselamatan kereta mengikut spesifikasi yang betul dapat membantu mengelakkan dan mengurangkan risiko kereta anda daripada terbakar. Secara amnya, kebakaran kereta boleh berlaku disebabkan oleh beberapa faktor seperti berikut:

1. Kebocoran Bahan Api

Kebocoran bahan api merupakan salah satu penyebab kebakaran kenderaan yang paling biasa berlaku di Malaysia. Bahan api seperti petrol atau diesel merupakan bahan mudah terbakar yang penting untuk kereta. Kebakaran boleh berlaku sekiranya ada kebocoran bahan api, ditambah pula dengan kehadiran oksigen dan percikan api kecil daripada sistem pendawaian kereta yang telah longgar atau rosak. Kebakaran yang disebabkan oleh bahan api biasanya disebabkan oleh situasi berikut:

  • Saluran bahan bakar yang rosak dan tidak diselenggara;
  • Sistem penyambungan dan suntikan bahan api (fuel injection) yang tidak betul dan bocor.

2. Kegagalan Sistem Elektrik

Kegagalan sistem elektrik juga merupakan penyebab kereta terbakar yang paling biasa dilaporkan. Bateri kereta misalnya, berfungsi membekalkan kuasa elektrik kepada motor penghidup dan sistem penyalaan. Meskipun bersaiz kecil, bateri kereta 12 voltan berupaya menghasilkan gas hidrogen semasa pengecasan dan berpotensi menyebabkan letupan. Dalam erti kata lain, bateri dan kabel pengecaj (starter cables) berupaya membawa arus yang mencukupi untuk menghidupkan api dan menyebabkan kebakaran sekiranya berlaku kerosakan.

Selain itu, mentol lampu yang pecah juga boleh menyebabkan kebakaran kerana filamen lampu hadapan boleh memanas dan mencecah suhu sehingga 1,400 °C. Jika tidak dibaiki dengan segera, ia berpotensi menyebabkan litar pintas dan kebakaran.

3. Enjin Terlampau Panas (Overheating)

Kejadian enjin overheating merupakan situasi normal yang berlaku dalam kalangan kereta lama, lebih-lebih lagi jika pemilik mengabaikan aspek penyelenggaraan. Overheating biasanya berlaku disebabkan oleh kegagalan atau kerosakan relay dan kipas radiator, kebocoran radiator atau disebabkan oleh kerosakan pam air (water pump). Enjin yang terlampau panas ditambah pula dengan bahan cecair mudah terbakar yang terdapat dalam enjin seperti minyak hitam, minyak transmisi automatik, cecair brek hidraulik dan penyejuk (coolant) merupakan elemen lengkap yang boleh menyebabkan kebakaran.

Pancarongga ekzos (atau exhaust manifold – laluan untuk gas ekzos yang keluar dari kebuk pembakaran masuk ke dalam sistem paip ekzos) pada enjin yang panas boleh mencecah suhu sehingga 500°C. Suhu ini cukup tinggi untuk menyalakan api sekiranya berlaku kebocoran di mana-mana bahagian dalam enjin.

4. Aksesori Kereta

Pemasangan atau pendawaian aksesori kereta seperti dashcam kereta yang tidak mengikut piawaian yang betul juga boleh menyebabkan kebakaran semasa di jalan raya. Pemasangan yang tidak dilakukan dengan baik mengikut spesifikasi yang betul ini boleh menyebabkan litar pintas dan dalam situasi tertentu, boleh menyebabkan kerugian (kereta terbakar dan sebagainya) kepada pemilik. Oleh itu, pastikan aksesori kereta anda dipasang oleh juruteknik yang berpengalaman. Pembaikan dan pemasangan amatur boleh mendatangkan bahaya yang tidak diingini yang boleh merugikan anda.

5. Barangan Berbahaya

Kebanyakan pemilik kenderaan mengambil mudah mengenai barangan yang disimpan di dalam kereta. Sesetengah barangan yang disimpan adalah berbahaya dan berisiko tinggi sehingga boleh menyebabkan kebakaran. Justeru itu, anda disarankan untuk mengelakkan daripada menyimpan barangan mudah terbakar di dalam kereta anda:

Barangan Mudah Terbakar yang Tidak Sesuai Ditinggalkan, Disimpan di dalam Kereta

Bagi sesetengah individu, kereta bukan sahaja berfungsi sebagai salah satu kaedah pengangkutan, tetapi turut berfungsi sebagai tempat simpanan sementara barangan keperluan harian. Namun begitu, tidak semua barangan sesuai ditinggalkan dalam kereta. Berikut merupakan antara barangan mudah terbakar yang tidak sesuai disimpan di dalam kereta:

i. Tin Aerosol

Kebiasaannya, tin penyembur rambut, deodoran, cat semburan dan barangan lain seumpamanya menampilkan cadangan suhu penyimpanan di bahagian sisi tin. Ini kerana, tin sebegini sangat sensitif terhadap sebarang perubahan suhu. Sekiranya tin ini di simpan di tempat bersuhu tinggi (cuaca panas atau sejuk) terlalu lama, kandungan didalamnya boleh mengembang. Ia secara tidak langsung berpotensi menyebabkan letupan yang mungkin menyebabkan kebakaran jika dibiarkan.

Jika kereta diletakkan di kawasan terbuka, elakkan daripada meninggalkan barangan ini di dalam kereta dan bawa barangan ini bersama anda.

ii. Pemetik Api

Meskipun bersaiz kecil, pemetik api boleh menyebabkan kebakaran jika dibiarkan terdedah kepada cuaca panas di dalam kenderaan. Suhu di dalam kenderaan yang diletakkan di kawasan terbuka boleh menjangkau sehingga 60 °C atau lebih. Haba panas dalam kenderaan ini secara tidak langsung boleh menyebabkan tiub plastik kecil ini mengembang dan meletup dan berpotensi mendatangkan risiko kebakaran.

Meskipun kebarangkalian untuk pemetik api menyebabkan kebakaran kenderaan adalah tipis, namun tidak salah sekiranya beringat-ingat. Elakkan menyimpan barangan atau cecair mudah terbakar di dalam kereta terutamanya semasa cuaca panas.

iii. Botol Plastik

Botol plastik yang mengandungi air membiaskan cahaya matahari dan berpotensi untuk menyalakan api terutamanya pada bahagian tempat duduk atau objek mudah terbakar lain. Memetik kajian David Richardson dari Jabatan Kebakaran Midwest, Amerika Syarikat, botol air boleh menghasilkan haba dan sinaran matahari yang menembusi botol berisi air boleh bertindak sama seperti penggunaan kaca pembesar. Dalam erti kata lain, botol berisi air yang dibiarkan di dalam kereta sudah memadai untuk menghasilkan percikan api yang boleh menyebabkan kebakaran.

Selain itu, botol air yang ditinggalkan di dalam kereta juga boleh menghasilkan bispenol A (BPA) – sebatian kimia berbahaya yang biasanya ditemui dalam plastik jernih yang boleh menyebabkan kanser. Oleh itu, elakkan daripada meninggalkan botol air di dalam kereta anda untuk mengelakkan risiko kebakaran dan penyakit berbahaya.

iv. Barangan Elektronik

Telefon pintar merupakan salah satu keperluan yang dimiliki oleh semua individu masa kini. Seiring dengan perkembangan teknologi ini, penggunaan barangan elektronik seperti powerbank juga semakin meluas untuk membekalkan kuasa tambahan pada telefon pintar terutamanya semasa kecemasan. Namun begitu, jika tidak disimpan dengan betul, ia boleh mendatangkan bahaya dan kecederaan. Powerbank jika dibiarkan di dalam kereta boleh menyebabkannya menjadi terlalu panas dan berpotensi untuk meletup.

Elakkan daripada meninggalkan powerbank atau apa-apa peralatan elektronik termasuklah telefon bimbit, tablet, kamera, rokok elektronik (vape) atau apa-apa barangan yang mengandungi bateri di dalam kereta kerana suhu yang tinggi boleh mendatangkan risiko kebakaran.

6. Memandu Sambil Merokok

Perbuatan memandu sambil merokok merupakan situasi yang biasa dilihat di jalan raya. Namun begitu, jika aspek keselamatan diabaikan, ia mungkin boleh menyebabkan kebakaran. Anda mungkin boleh membayangkan senario seorang pemandu lori yang membuang puntung rokok melalui tingkap.

Ada kemungkinan puntung rokok yang dicampak keluar daripada tingkap memasuki ruang belakang kenderaan yang sarat dengan barangan seperti kayu serta objek mudah terbakar lain – kebakaran boleh berlaku. Oleh itu, elakkan daripada memandu sambil merokok terutamanya jika anda membawa barangan mudah terbakar bersama anda.

Baru-baru ini juga tular di media sosial mengenai insiden kereta meletup dan terputus dua sehingga mengorbankan pemandunya dipercayai akibat mangsa merokok dalam kenderaan yang sarat dengan mercun bola.

7. Kemalangan

Kebanyakan kenderaan hari ini dilengkapi dengan zon remuk yang melindungi bahagian dalaman kenderaan yang penting seperti tangki minyak, enjin kereta, bateri dan komponen berisiko lain terutamanya semasa kemalangan. Meskipun begitu, bergantung pada impak perlanggaran dan situasi semasa kemalangan, bahagian ini mungkin turut berpotensi mengalami kerosakan.

Komponen kereta seperti bateri dan alternator yang rosak disebabkan kemalangan misalnya, mungkin mengeluarkan percikan api lalu terkena pada bahagian-bahagian tertentu yang mengandungi cecair mudah terbakar yang telah bocor lalu menyebabkan komponen kereta yang lain terbakar.

Mengikut statistik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, sebanyak 2,512 kes kebakaran disebabkan kemalangan direkodkan pada tahun 2018.

Apa yang Anda Perlu Lakukan Sekiranya Kereta Anda Terbakar?

Jika kereta yang anda naiki terbakar disebabkan oleh kemalangan atau lain-lain situasi, kekal tenang dan jangan panik. Kebakaran kenderaan dapat merebak dengan cepat terutama jika kenderaan bergerak kerana angin akan membekalkan lebih banyak oksigen untuk pembakaran yang lebih cepat. Anda disarankan untuk melakukan langkah-langkah keselamatan berikut:

1. Perlahankan dan berhentikan kenderaan anda di bahu jalan.

2. Matikan enjin kereta, tarik handbrake dan tukarkan gear kepada P sebelum anda keluar daripada kereta anda – sistem pembakaran enjin masih berjalan jika enjin tidak dimatikan sekali gus menggalakkan api merebak dengan lebih cepat.

3. Tanggalkan tali pinggang keledar. Jika tali pinggang keledar tidak dapat ditanggalkan, potong tali pinggang keledar menggunakan tukul cermin pelbagai fungsi seperti Window Breaker Seatbelt Cutter ini.

4. Selamatkan diri anda dan ahli keluarga (jika ada), segera keluar daripada kereta atau buka kunci pintu kereta atau tingkap untuk memudahkan orang lain atau pasukan penyelamat untuk menyelamatkan anda.

5. Jika pintu atau tingkap kereta anda tidak boleh dibuka, tendang atau pecahkan cermin untuk keluar daripada kereta.

6. Tutup mulut dan hidung anda dengan tudung atau kain (jika ada) untuk mengelakkan anda daripada tersedut asap yang berbahaya.

7. Setelah berjaya keluar, pastikan anda dan ahli keluarga (jika ada) berada sekurang-kurangnya 30 meter daripada kereta yang terbakar.

8. Jangan sesekali kembali ke kereta untuk mendapatkan barangan peribadi.

9. Hubungi talian kecemasan 999 untuk bantuan lanjut.

10. Tindakan mencuba untuk mengawal atau memadamkan api sendiri mungkin sukar lebih-lebih lagi jika anda tidak dapat mengesan sumber api – elakkan berbuat sedemikian untuk keselamatan anda.

11. Namun begitu, jika anda dapat mengesan sumber api dan mempunyai alat pemadam api yang sesuai, berdiri pada jarak yang selamat dan gunakan alat pemadam api untuk padamkan kebakaran.

12. Jangan buka bonet atau but jika sumber api berpunca dari situ. Kehadiran oksigen tambahan boleh menyebabkan api menjadi lebih marak.

Tips & Panduan Keselamatan Elakkan Kereta Terbakar

Memetik Carsome, turut disenaraikan tips dan panduan keselamatan berikut untuk mengelakkan kereta anda daripada terbakar:

1. Matikan enjin kenderaan semasa mengisi minyak;

2. Elakkan merokok semasa membawa barangan mudah terbakar;

3. Jangan tinggal barangan mudah terbakar atau barangan elektrik seperti powerbank dan rokok elektronik di dalam kereta terutamanya jika kereta diletakkan di kawasan tempat letak kereta terbuka;

4. Elakkan pemasangan atau pendawaian aksesori tambahan kereta yang tidak mengikut spefikasi yang dibenarkan;

5. Lakukan penyelenggaraan kereta mengikut jadual yang ditetapkan untuk menggantikan komponen kereta yang usang dan rosak.

Orang ramai terutamanya pemilik kereta juga turut dinasihatkan untuk menyimpan alat pemadam api dalam kenderaan seperti Fire Fighter Portable Fire Extinguisher ini sebagai langkah pencegahan untuk mengelakkan insiden kebakaran sebegini daripada berlaku semasa di jalan raya.

Cara Menggunakan Alat Pemadam Api

Alat pemadam api jenis ABC (1 kg) sesuai digunakan untuk kereta, manakala alat pemadam api jenis ABC (2 kg) sesuai digunakan untuk kenderaan besar seperti lori tiga tan. Kebiasaannya, alat pemadam api jenis ABC ini dijual di pasaran pada harga sekitar RM70 hingga RM85.

1. Tong alat pemadam api mestilah digunakan dalam keadaan tegak.

2. Pastikan anda berdiri sekurang-kurangnya 1.5 meter dari punca api dan tidak melawan arah angin.

3. Elakkan berdiri terlalu dekat – tekanan udara yang tinggi dalam tong membolehkan penyemburan serbuk ini dilakukan dengan selamat dari jarak 1.5 meter.

4. Cabut pin di bahagian pemegang.

5. Halakan nozel ke bahagian pangkal api.

6. Tekan tuil di bahagian atas.

7. Layangkan nozel ke kiri dan ke kanan secara berulang sehingga api padam.