“73 masalah” – Pemilik Proton S70 varian Flagship X luah rasa terkilan, kereta bermasalah sehari selepas terima

“73 masalah” – Pemilik Proton S70 varian Flagship X luah rasa terkilan, kereta bermasalah sehari selepas terima

 

Seorang pemilik Proton S70 varian Flagship X berwarna Space Grey bernama Ku Azhar telah berkongsi satu hantaran berhubung dengan pengalaman pahitnyanya menggunakan model sedan itu di laman group Proton S70 Malaysian Community (MYS70COM).

Dia turut memuat naik beberapa gambar dan video bukti masalah yang timbul pada kereta miliknya itu. Katanya, dia telah menerima S70 berkenaan pada 02 Februari 2024.

Masalah mula timbul sehari selepas itu (03 Februari 2024) pada 300km yang pertama.

Dia kemudiannya menghantar kereta tersebut ke Pusat Servis pada 05 Februari 2024.

Jelasnya, mengikut kiraan dia telah menghantar kereta ke Pusat Servis (tempat membeli kereta) selama 15 hari dan kereta itu turut dibawa ke Ibu Pejabat Proton selama sehari.

Bukan itu sahaja, S70 miliknya juga terpaksa dihantar ke kilang Proton di Tanjung Malim selama 15 hari.

Selain itu dia terpaksa menghantar kereta tersebut ke Pusat Servis lain selama dua hari, namun kereta itu tidak diservis memandangkan kesnya telah dirujuk ke Ibu Pejabat.

Katanya lagi, ada 33 masalah pada keretanya semasa dihantar ke Tanjung Malim. Sehingga 17 Mac 2024 sebanyak 69 masalah telah dikenal pasti.

Terkini, katanya jumlah masalah yang timbul telah meningkat kepada 73. Setakat ini, masih ada 54 masalah yang masih belum dapat diselesaikan.

Berikut adalah senarai masalah yang timbul:

Masalah besar dan juga isu keselamatan:

1. Stereng rack dan penyerap hentak (absorber) berbunyi.

2. Enjin terlalu bergegar (disahkan oleh SC, tidak normal berbanding S70 lain, bergegar selepas dipulangkan oleh Proton Tanjung Malim).

3. AEB tiba-tiba membrek secara automatik semasa di selekoh: Penjelasan CRM berkata pemilik yang menekan brek sebab sistem tidak log sebarang info dalam EDR.

4. IHU ‘tergendala’ tidak dapat menukar mod/buat apa-apa di skrin.

5. Pad brek berbunyi nyaring: Proton Tanjung Malim sudah menukar pad brek dan cakera brek kerana dapat mengesan titik terlalu panas.

6. Pendingin hawa berbunyi kuat: Proton Tanjung Malim sudah menukar ‘o-ring‘, perpaipan, kondensor dan menambah tangki ganti penyejuk sehingga takat maksimum.

7. Bunyi ‘ketukan logam’ kuat setiap kali pemampat (compressor) mula berfungsi.

8. Gear rendah semasa kereta mula bergerak berbunyi sangat kuat berbanding dengan S70 yang dipandu uji – Disahkan oleh SC, pinjam unit pandu uji untuk membuat perbandingan.

9. ‘Powertrain missing next service mileage‘ semasa di Proton Tanjung Malim, perbatuan tidak berjalan namun ‘next service mileage‘ tinggal 776km – HQ menyuruhnya ke SC untuk membuat servis 10,000 pada perbatuan 9,400 dengan kos ditanggung oleh pemilik sendiri bagi mengelakkan masalah waranti di kemudian hari.

10. Kereta susah untuk dihidupkan, guna ‘remote start‘ pun tidak boleh. Tiada sebarang maklum balas daripada pihak HQ/SC apabila dalam keadaan kecemasan tersadai di Hentian Rehat dan Rawat (R&R).

11. ‘Auto-hold gear tak engage’ walaupun dah tekan brek dan berhenti sepenuhnya, kereta masih bergerak ke depan, simbol P hijau tidak menyala.

Masalah kecil/kosmetik:

1. Bahagian luaran dan dalaman rosak dan tidak dipasang dengan betul selepas dipulangkan dari Proton Tanjung Malim

2. Kesan calar akibat cebisan batu kecil pada bahagian bampar dan hud depan selepas keluar trek Tanjung Malim.

3. Papan pemuka bercalar.

Masalah adab:

1. Kereta dipulangkan dari Proton Tanjung Malim dengan kesan pijak dengan kasut atas seat belakang walaupun tiada pembaikan yang perlu dibuat di bahagian tersebut.

Perjumpaan terkini dengan CRM di HQ COE Shah Alam pada 18 Mac 2024 , perbincangan telah dibuat dan plan untuk rektifikasi adalah pada minggu seterusnya, tetapi telah ditunda ke tarikh 15 April-2024 atas sebab kereta ganti sementara yang dijanjikan masih belum tersedia.

Terkini:

Tarikh pengambilan kereta untuk rektifikasi ditukar ke 16 April 2024 kerana PIC masih bercuti pada 15 April 2024. Buat sementara waktu Proton sarankan boleh pandu dulu kereta di jalan raya sehingga rektifikasi dibuat.

Menurut funtasticko, hantaran tersebut telah menerima lebih 346 komen di Facebook. Kami berharap agar pihak Proton dapat menyelesaikan isu ini dengan segera.