8.7 juta penerima kategori B40 terima Sumbangan Tunai Rahmah Rabu ini

8.7 juta penerima kategori B40 terima Sumbangan Tunai Rahmah Rabu ini

Bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 akan dikreditkan ke dalam akaun penerima secara berperingkat mulai Rabu ini.

Memetik Sinar Harian, Kementerian Kewangan menerusi kenyataan pada Isnin memaklumkan, bayaran kepada 8.7 juta golongan B40 itu melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM1.26 bilion.

Seramai empat juta penerima kategori isi rumah menerima RM200 dan 3.5 juta kategori bujang (RM100) manakala 1.2 juta warga emas dan tiada pasangan (RM100) menerima manfaat STR.

Penerima STR di kawasan pedalaman termasuk Sabah dan Sarawak yang mempunyai akaun bank atau tiada akaun bank akan turut menerima pembayaran ini pada tarikh yang sama.

“Penerima STR yang tiada akaun bank juga boleh membuat penunaian di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) mulai Rabu,” kata kementerian itu.

Dengan pembayaran tersebut, sejumlah RM2.93 bilion peruntukan STR telah dibayar kepada golongan B40 pada tahun 2023.

Pembayaran seterusnya iaitu Fasa 3 dan Fasa 4 akan dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan iaitu pada bulan Julai dan November tahun ini dengan mengambil kira permohonan baharu atau kemas kini STR.

Sehingga 31 Mac 2023, sebanyak 714,918 permohonan baharu dan 2,618,104 permohonan kemas kini telah diterima dan akan melalui proses verifikasi sebelumdiluluskan mengikut kategori kelayakan STR.

Semakan status pembayaran akan dibuka mulai Rabu.