8 artis popular Malaysia yang pernah bergelar ratu cantik
Siapa sangka, rupa-rupanya ramai selebriti di Malaysia memulakan karier mereka dengan menyertai pertandingan ratu cantik sebelum bergelar artis.
Tidak hanya mengharumkan nama negara di mata dunia, selebriti ini juga berjaya menempa nama di industri hiburan tanah air setelah memenangi pertandingan ratu cantik.
Antara pertandingan ratu cantik yang disertai selebriti tempatan untuk mewakili Malaysia adalah Miss Universe, Miss World serta Miss Intercontinental.
Berikut kami kongsikan senarai selebriti Malaysia yang memulakan karier mereka dengan menyertai pertandingan ratu cantik sebelum menceburi industi hiburan tempatan.
Erra Fazira
Pasti ramai rakyat Malaysia yang tahu bahawa Erra Fazira berjaya menempa nama selepas memenangi pertandingan Miss World Malaysia pada tahun 1992.
Baru berusia 18 tahun ketika memenangi pertandingan itu, Erra mula dikenali ramai dan mula menceburkan diri dalam industri seni sebagai pelakon, penyanyi dan pengacara.
Erra kemudian diberikan gelaran primadona filem Melayu selepas bakat lakonannya menonjol di dalam filem pecah panggung, Sembilu yang diterbitkan tahun 1994.
Elaine Daly
Memulakan kerjaya sebagai model, Elaine telah memperoleh gelaran Miss Universe Malaysia selepas memenangi pertandingan ratu cantik itu pada tahun 2003.
Nasib menyebelahinya, Elaine menerima banyak tawaran berlakon dan pengacaraan setelah memenangi pertandingan itu kerana kefasihannya dalam Bahasa Melayu.
Antara drama dan filem lakonan wanita yang berketurunan Serani itu adalah The Red Kebaya, Cuci dan Apa Dosaku.
Kavita Sidhu
Cukup terkenal dengan lakonan ikoniknya di dalam filem seram, Pontianak Harum Sundal Malam, Kavitha juga memulakan kariernya di dunia seni sebagai model.
Mewakili Malaysia di peringkat dunia, Kavitha berjaya mengharumkan nama negara selepas memenangi pertandingan Miss Charm Intercontinental pada tahun 1990.
Soo Wincci
Wanita jelita bernama Soo Wincci ini mula menceburi dunia hiburan dengan membintangi drama tempatan setelah meraih gelaran Miss World Malaysia pada 2008.
Soo Wincci juga merupakan seorang penyanyi dan pernah merakamkan lebih dari sepuluh lagu antaranya Terus Teranglah, Nombor Satu dan Jangan Risau.
Selebriti serba boleh ini juga berbakat dalam bidang masakan dan berjaya menjadi peserta Top 5 dalam rancangan realiti memasak, Masterchef Selebriti Malaysia.
Deborah Henry
Selepas memenangi pertandingan ratu cantik, Deborah Henry terpilih menjadi pengacara program terbitan stesen televisyen Malaysia, ntv7 iaitu rancangan Bella.
Deborah juga pernah muncul sebagai ‘cameo’ dalam filem epik arahan Yusry Abdul Halim, Hikayat Merong Mahawangsa dengan memegang watak ‘Yesoddhra’.
Wanita berketurunan India-Ireland itu pernah memegang gelaran Miss World Malaysia 2007 sebelum memenangi pertandingan Miss Universe Malaysia pada tahun 2011.
Rozita Che Wan
Siapa sangka, selebriti Malaysia yang mesra disapa Che Ta ini merupakan pemenang pertandingan ratu cantik, Miss Intercontinental Malaysia pada tahun 1992.
Pernah wakili Malaysia di peringkat antarabangsa, Rozita rupa-rupanya mula menceburi bidang hiburan agak lewat berbanding rakan seperjuangannya.
Namun, oleh kerana rupa paras dan bakatnya berjalan seiring, Rozita berjaya menjadi pelakon popular dalam masa singkat dan menjadi pilihan pengarah tempatan.
Thanuja Ananthan
Selebriti tinggi lampai yang memiliki ketinggian melebihi 180 cm (sentimeter) ini merupakan pemenang pertandingan Miss World Malaysia pada tahun 2009.
Berjaya meraih populariti, Thanuja kemudian dilamar untuk menjadi pengacara dan pelakon dalam drama Temuan Takdir, Anak Merdeka dan DM Hati Awak.
Tan Sri Michelle Yeoh
Sebelum melebarkan sayapnya dalam bidang lakonan, Tan Sri Michelle Yeoh pernah memenangi pertandingan ratu cantik Miss World Malaysia pada tahun 1983.
Berjaya menempa nama sebaris pelakon antarabangsa popular, Yeoh pernah berlakon dalam filem James Bond, Police Story, Crazy Rich Asian, Shang-Chi dan banyak lagi.