9 tahun ibu ayah tunggu zuriat, cucu & atuk ditemui terapung di kolam terbiar

9 tahun ibu ayah tunggu zuriat, cucu & atuk ditemui terapung di kolam terbiar

Isnin lalu pada jam 7.20 petang, seorang datuk bersama cucunya ditemui terapung dalam kolam terbiar yang terletak berhampiran dengan sebuah kedai makan berlokasi di Taman Kempas, Sungai Petani, Kedah. Azmi Abdullah (77 tahun) merupakan seorang pesara kerajaan dan dikatakan memang suka membawa cucunya meronda kampung setiap petang.

Sepanjang hari Isnin, anak nampak seperti terlalu manja

Sepanjang hari tersebut, Zarina Azmi (34) yang bekerja di kedai makan itu menyedari anaknya yang bernama Muhammad Ziyaad Mikhail asyik memeluk dirinya seolah-olah mahu bermanja puas-puas. Pada jam 5 petang, bapanya datang mengambil Ziyaad dan mereka dipercayai sedang menuju balik ke rumah di Kampung Permatang Berangan, Pinang Tunggal.

Keluarga menyifatkan Azmi Abdullah adalah seorang datuk yang penyayang

Pelik kenapa bapa mentua & anak belum pulang menjelang senja

Menjelang senja, suami Puan Zarina, Muhammad Yuzarith Martin Abdullah merasa pelik mengapa bapa mentuanya dan anak masih belum tiba di rumah. Menurut laporan Harian Metro, dia terus mencari di kawasan berdekatan dan kebetulan ternampak ramai orang saat melintasi kawasan kolam tersebut. Siapa menduga ia merupakan 2 tubuh insan tersayang yang sedang dicarinya waktu itu. Menurut siasatan lanjut, polis mengesahkan tiada unsur jenayah ditemukan dalam kejadian ini.

 

9 tahun menanti kehadiran zuriat pertama dalam rumah tangga

Yusof Abdullah iaitu adik kepada Allahyarham pula mendakwa kemungkinan Azmi cuba menyelamatkan cucu yang termasuk ke dalam kolam namun gagal memandangkan kolam itu agak licin dan berlumut. Bagi Zarina dan Yuzarith, mereka sempat berkongsi bahawa kehadiran Ziyaad sudah dinantikan selama 9 tahun. Namun mereka akur dengan takdir si kecil itu yang dipinjamkan oleh Allah selama 1 tahun 7 bulan sahaja.