YouTuber Korea Selatan Daud Kim peluk Islam, teruja tunai ibadah umrah
Pemuzik dan YouTuber popular Korea Selatan, Jay Kim atau nama islamnya, Daud Kim telah mengejutkan ramai pihak apabila dia telah membuat keputusan untuk memeluk islam serta mengerjakan ibadah umrah di kota suci Mekah, baru-baru ini.
Menerusi hantaran yang dimuat naik oleh Daud di laman Instagramnya, dia mengakui menjumpai ketenangan yang dicarinya selama ini selepas menjalani kehidupan yang agak ‘kucar-kacir’.
Ujar Daud yang mempunyai hampir 4 juta pengikut di YouTube berkata, dia tidak sangka sudah menemui jawapan dalam kehidupannya bahawa Allah adalah Tuhan yang menguasai alam.
“Saya jejakkan ke Mekah sekali lagi. Tempat ini umpama ‘rumah’ saya. Sangat menenangkan jiwa dan suci. Sebelum ini, kehidupan saya sangat teruk. Saya ingatkan diri ini orang yang paling tidak bertuah dalam dunia. Jadi, saya mencari-cari jalan kebenaran dan sentiasa cari jawapan sebenar.
“Saya akhirnya sedar, saya bukan keseorangan. Seseorang berada di samping saya membawa saya ke jalan benar. Saya dah sedar kewujudan Allah SWT,” ujarnya.
Bukan itu sahaja, dia turut meluahkan rasa syukur menjadi salah seorang hamba yang telah menerima hidayah daripada Yang Esa dan tidak akan berputus asa dalam mencari keredaan Allah.
Malah, Daud turut berharap agar segala dosanya diampunkan dan sentiasa dipimpin ke jalan yang benar. Bahkan, dia berdoa agar dapat berjumpa dengan saudara sesama Islam di syurga kelak.