YouTuber Korea Selatan Daud Kim peluk Islam, teruja tunai ibadah umrah

YouTuber Korea Selatan Daud Kim peluk Islam, teruja tunai ibadah umrah

Pemuzik dan YouTuber popular Korea SelatanJay Kim atau nama islamnya, Daud Kim telah mengejutkan ramai pihak apabila dia telah membuat keputusan untuk memeluk islam serta mengerjakan ibadah umrah di kota suci Mekah, baru-baru ini.

Menerusi hantaran yang dimuat naik oleh Daud di laman Instagramnya, dia mengakui menjumpai ketenangan yang dicarinya selama ini selepas menjalani kehidupan yang agak ‘kucar-kacir’.

 

 

Ujar Daud yang mempunyai hampir 4 juta pengikut di YouTube berkata, dia tidak sangka sudah menemui jawapan dalam kehidupannya bahawa Allah adalah Tuhan yang menguasai alam.

“Saya jejakkan ke Mekah sekali lagi. Tempat ini umpama ‘rumah’ saya. Sangat menenangkan  jiwa dan suci. Sebelum ini, kehidupan saya sangat teruk. Saya ingatkan diri ini orang yang paling tidak bertuah dalam dunia. Jadi, saya mencari-cari jalan kebenaran dan sentiasa cari jawapan sebenar.
“Saya akhirnya sedar, saya bukan keseorangan. Seseorang berada di samping saya membawa saya ke jalan benar. Saya dah sedar kewujudan Allah SWT,” ujarnya.

Bukan itu sahaja, dia turut meluahkan rasa syukur menjadi salah seorang hamba yang telah menerima hidayah daripada Yang Esa dan tidak akan berputus asa dalam mencari keredaan Allah.

Malah, Daud turut berharap agar segala dosanya diampunkan dan sentiasa dipimpin ke jalan yang benar. Bahkan, dia berdoa agar dapat berjumpa dengan saudara sesama Islam di syurga kelak.

“Islam beri saya jawapan terhadap segala persoalan yang bermain di minda selama ini. Jawapan mengapa saya dicipta, mengapa saya hidup. Dan akhirnya nanti, ke mana saya akan pergi selepas mati.
“Saya masih buat dosa (silap) namun sekarang, saya seorang Muslim. Saya tidak akan berputus asa memohon keampunan daripada Allah SWT. Iman saya tidak akan pernah berubah, insya-Allah.
“Semoga ampunkan segala dosa saya dan bimbing saya ke jalan yang benar. Doa saya buat mereka yang memerlukan bantuan. Moga Allah SWT berkati hidup semua umat Islam. Sehingga kita berjumpa nanti di Jannah,” coretnya lagi.