Syamsul Yusof dakwa Puteri Sarah curang dengan bekas kekasih berstatus suami orang

Syamsul Yusof dakwa Puteri Sarah curang dengan bekas kekasih berstatus suami orang

 

Pengarah sensasi, Syamsul Yusof memfailkan nusyuz terhadap isteri pertama, Puteri Sarah Liyana di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor, hari ini (Selasa).

Menghubungi bekas kekasih

Ketika ditemui OhBulan!, Syamsul mendakwa Puteri Sarah berlaku curang dengan bekas kekasihnya yang memegang status suami orang.

Jelas Syamsul, lelaki terbabit bukan seorang pelakon sebaliknya kenalan pada zaman kolej.

Selain itu, Syamsul, 39, mengakui terkejut apabila Puteri Sarah mendakwa dirinya telah melakukan keganasan rumah tangga pada tahun 2020.

Selama ini apa yang berlaku dalam rumah tangga saya diam. Tak elok nak kongsi semua hal rumah tangga sebab itu saya diam. Semua orang tau, walau apapun yang Sarah kongsi di media sosial, saya tetap mendiamkan diri.

Saya lelaki yang tak nak kongsi hal rumah tangga kepada umum. Baru saya faham sekarang kenapa orang cakap jangan masuk campur tangan hal rumah tangga orang lain.

Orang tak tahu apa yang berlaku, hanya dengar sebelah pihak dan terus menghakimi. Saya masih mendiamkan diri kerana memikirkan Sarah adalah isteri saya dan merupakan ibu kepada Syaikhul dan Sumayyah.

Saya tak nak lepaskan dia di mahkamah haritu kerana masih sayang dia. Saya terkejut apabila dia menuduh saya memukul dia.

Saya juga memendam rasa sebagai suami. Dalam dunia ini, tiada suami yang boleh terima isterinya yang curang dengan suami orang lain.

Kesilapan saya mungkin sebab saya diam. Justeru, ibu bapa saya menghentam saya.

Saya bukan nak membalas terhadap Sarah tetapi orang perlu tahu hal sebenar.

Hantar notis saman

Sementara itu, peguam yang mewakili Syamsul iaitu Azmie Mohd Rais menyatakan anak guamnya telah memfailkan kes tuntutan nusyuz kepada Puteri Sarah atas beberapa alasan.

Tarikh akan datang untuk kes ini adalah 6 April pada jam 9 pagi. Nusyuz bermaksud isteri tidak taat atau derhaka pada suami.

Jadi Syamsul memfailkan kes tuntutan nusyuz kepada Sarah atas beberapa alasan. Saya bercakap secara brief sahaja.

Antaranya meninggalkan rumah kelamin sejak tahun 2020, enggan mematuhi notis nusyuz dan telah membuat fitnah memukul dan tidak memberi nafkah.

Azmie juga memberitahu pihaknya akan menghantar notis saman kepada Puteri Sarah dalam waktu terdekat memandangkan tarikh sebutan kes pada bulan hadapan.

Terdahulu, Puteri Sarah memfailkan permohonan penceraian di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Permohonan cerai difailkan mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Syamsul dan Puteri Sarah mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan mereka dikurniakan dua orang cahaya mata, Syaikul Islam, 6, dan Summayah, 4.