A.Aida takkan beri tawaran berlakon kepada Hafidz Roshdi

A.Aida takkan beri tawaran berlakon kepada Hafidz Roshdi

Penerbit popular, Datuk A. Aida tidak mahu memberikan tawaran berlakon kepada Hafidz Roshdi disebabkan kontroversi dilalui aktor tersebut ketika ini berhubung kemelut rumah tangga.

Menurut laporan BH Online, penerbit berusia 52 tahun itu membuat keputusan demikian selepas mengambil kira ‘kemarahan’ masyarakat selain enggan drama atau filem terbitannya terpalit unsur negatif.

 

“Bagi saya, apa yang dilakukan (Hafidz) menyentuh sensitiviti masyarakat. Jadi, ini akan membuat penonton beremosi. Ini tidak bagus untuk syarikat produksi saya andai perkara seumpama itu terjadi.
“Jadi, saya tidak akan ambil pelakon seperti dia. Kalau dia ada, drama saya mungkin tiada ‘rating’. Ini salah satu kemungkinan sahaja. Sama ada drama itu ‘meletup’ atau dikecam. Disebabkan itu, saya mahu elak,” katanya.

 

Walau bagaimanapun, dia masih boleh mempertimbangkan bagi memberi tawaran sekiranya aktor berusia 29 tahun itu sudah menyesal atas perbuatannya.

Jelas A. Aida, syarikat produksinya sentiasa memberi peluang kepada pelakon sensasi tetapi bergantung kepada jenis masalah yang dihadapi oleh mereka.

 

“Seperti sekarang, Ismail Izzani sedang menjayakan penggambaran bersama syarikat produksi saya. Untuk hal ini, saya tiada masalah.
“Apa yang saya tahu, masalah Ismail bersifat peribadi. Namun, kalau masalah artis membabitkan orang lain seperti mengasari wanita dan menyentuh sensitiviti masyarakat, saya tidak akan ambil berlakon.
“Ismail bagi saya, pelakon yang bagus. Setiap hari dia datang ke lokasi penggambaran tepat pada waktunya. Dia tiada masalah dan sanggup belajar.
“Misalnya, dalam menguasai bahasa isyarat, kita panggil guru untuk Ismail belajar dan dia cepat ‘tangkap’,” ujarnya lagi.

Terdahulu, kisah rumah tangga Hafidz dan isteri Nurul Shuhada Mat Shukri menjadi bualan ramai selepas dikatakan bermasalah akibat kehadiran orang ketiga.

 

Nurul Shuhada kemudian memaklumkan dia sudah mendaftar perceraian di Mahkamah Syariah Shah Alam, Selangor pada 27 Februari lalu.

Konflik berlarutan apabila Hafidz didakwa bertindak menumbuk muka Nurul Shuhada sebanyak tiga kali sehingga menjadi siasatan polis ketika ini.