Aaron Aziz ‘warning’ Sharnaaz, jangan masuk campur urusan dia dengan Syamsul
Pelakon terkenal, Datuk Aaron Aziz meminta supaya Sharnaaz Ahmad tidak masuk campur urusannya dengan Syamsul Yusof.
Ini berikutan Sharnaaz ada mengemaskini status di Twitter miliknya mengenai konflik yang berlaku di dalam produksi filem, ‘The Original Gangster’.
Tulis Sharnaaz dalam ciapan berkenaan, dia dan pelakon lain sangat profesional dan tidak menarik daripada membintangi filem berkenaan biarpun pengarahnya terpalit kontroversi.
“Kami tidak akan tinggalkan kerja separuh jalan. Hal peribadi adalah peribadi. Sebagai pengarah, Syamsul punya sokongan penuh serta hormat daripada saya tanpa ragu. Yang tahu jer tahu. Makin banyak bercakap, takut terselak kain sendiri kanda. Ingat itu,” tulisnya.
Menurut Aaron dia tidak lagi mahu mengulas mengenai isu di antaranya bersama pengarah kontroversi itu kerana mahu menuruti permintaan isterinya.
“Beritahu dia (Sharnaaz Ahmad), tak perlu masuk campur! Kepada sesiapa yang tak terlibat di dalam produksi, baik pelakon atau pun sesiapa sahaja, jangan masuk campur,” katanya ketika ditemui di sidang media bersama Jakel di Shah Alam di mana tahun ini adalah tahun kesembilan dirinya dilantik menjadi duta Baju Melayu keluaran syarikat tekstil terkemuka tersebut.
Ditanya apakah solusi yang akan diambilnya untuk menamatkan kemelut di antaranya dengan Syamsul, kata Aaron secara umum, dia meminta supaya Syamsul memohon maaf kepada ibu bapanya sendiri terlebih dahulu.
Ketika ini, Aaron masih sibuk menjalani penggambaran filem terbitan Skop Productions arahan Syafiq Yusof dan akan membintangi sebuah lagi filem bersama produksi berkenaan.