“Aaron tetap sahabat saya” – Hanya masalah kerja, Syamsul Yusof sedia jumpa Aaron Aziz

“Aaron tetap sahabat saya” – Hanya masalah kerja, Syamsul Yusof sedia jumpa Aaron Aziz

 

Pengarah sensasi, Syamsul Yusof memberitahu dia bersedia memenuhi permintaan Datuk Aaron Aziz untuk bersemuka bagi menyelesaikan isu pengguguran nama aktor itu dalam  filem terbaharu arahannya, The Original Gangster.

Sedia berjumpa dan berdamai

Pemilik nama Mohd Syamsul Mohd Yusof  berkata, dia tidak mempunyai masalah untuk berjumpa dan sedia berdamai semula dengan pelakon itu untuk menjayakan filem akan datang.

“Boleh nak jumpa berdua, tiada masalah. Saya pun tunggu dia ajak berjumpa juga.

“Nak jumpa untuk berbaik-baik semula boleh, tiada masalah,” ujarnya.

Aaron tetap sahabat saya…

Syamsul berkata, dia langsung tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan aktor kelahiran Singapura itu memandangkan hubungan mereka tetap sebagai sahabat.

Katanya lagi, salah faham yang berlaku antara mereka berdua hanyalah timbul atas faktor kerja semata-mata.

“Kalau ada projek filem akan datang pun boleh jumpa. Aaron tetap sahabat saya.

Masalah yang timbul hanya soal kerja semata-mata dan kita mesti bersikap profesional,” katanya lagi.

Semalam, Aaron dalam satu hantaran meluahkan rasa kecewa dan kesal selepas Syamsul mendakwa dirinya digugurkan dari filem aksi berkenaan atas alasan sudah tua, gemuk dan berisi.

Apabila membuatkan Aaron terkilan adalah pengarah terbabit enggan berjumpa dengannya sedangkan segala permintaan telah dituruti termasuk ‘membuat badan’.

Katanya lagi, disebabkan permintaan pengarah tersebut, dia terpaksa menahan kesakitan kerana mengambil suntikan bagi mendapatkan tubuh sasa dalam tempoh singkat.

Selain itu , Syamsul dalam sidang media  juga menyatakan keputusan itu dibuat selepas beberapa pihak turut berpendapat Aaron tidak mampu menjayakan watak berkenaan memandangkan dia mempunyai masalah kesihatan iaitu slipped disc.