Abang Ismail Sabri pula tampil bocorkan punca adiknya bubar parlimen mengejut

Abang Ismail Sabri pula tampil bocorkan punca adiknya bubar parlimen mengejut

Jangkaan kemerosotan ekonomi dunia dan bibit-bibit perpecahan dalam kabinet menjadi sebab utama mengapa Ismail Sabri Yaakob bertindak membubarkan Dewan Rakyat.

Pandangan itu diberikan abang kepada perdana menteri sementara itu, Kamarazaman Yaakob ketika ditemui Malaysiakini.

Tambahnya, tindakan Ismail Sabri menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi mencadangkan pembubaran parlimen bukan disebabkan tekanan dalam Umno.

“Oh tidak… tidak, itu hanya anggapan awam yang tidak dapat melihat dengan teliti perkembangan-perkembangan yang menyebabkan dia (Ismail Sabri) terpaksa bubarkan dewan (parlimen).

“Yang pertama, banyak pengkaji ekonomi mengatakan tahun depan sebagai tahun yang sangat teruk ekonominya di seluruh dunia dan kita juga terlibat dalam sistem kapitalis.

“Ini seolah-olah kapitalis sedang menuju kehancuran dan kita pun negara kapatalis sudah tentu akan terlibat,” katanya.

Terdahulu dia menghadiri program Jelajah Puisi Keluarga Malaysia sempena minggu mesra mahasiswa Universiti Malaysia Kelantan di Kota Bharu, malam tadi.

Dia berkata demikian ketika ditanya apakah benar adiknya itu membubarkan parlimen susulan desakan daripada Umno khususnya presiden parti terbabit, Ahmad Zahid Hamidi.

Kamarazaman sama sekali menafikan dakwaan Ismail Sabri menyerah kepada tekanan dalaman Umno sebaliknya menyifatkan pembubaran parlimen itu dibuat pada waktu yang tepat.

Tambah Kamarazaman, pakar menjangkakan ekonomi dunia akan “runtuh” dan ia turut bakal memberi kesan kepada orang ramai khususnya golongan bawahan.

Bubar jadi jalan keluar

Justeru, kata bekas aktivis mahasiswa itu lagi, jika parlimen tidak dibubarkan sekarang, kemarahan rakyat kepada kerajaan tidak akan dapat diatasi.

“Rakyat tidak kira, bagi mereka situasi itu adalah kegagalan kerajaan walaupun ia sebenarnya dalam gelombang keruntuhan ekonomi dunia,” katanya.

Menjelaskan sebab kedua, Kamarazaman berkata, Ismail Sabri mengambil tindakan tersebut apabila melihat kepada perpecahan dalam kabinetnya.

Keadaan itu, katanya, dapat dilihat apabila kumpulan menteri PN menulis surat kepada Agong memohon agar pembubaran parlimen ditangguhkan.

Kata pengasas Parti Kuasa Rakyat itu, ia adalah bibit-bibit perpecahan dalam kabinet yang boleh membawa perpecahan dalam kerajaan.

“Jadi supaya perkara itu tidak terus melarat dan rosak serta boleh menimbulkan masalah besar dalam kabinet, jalan keluarnya ialah bubarkan parlimen.

“Apabila bubar, kerajaan terpaksa memberi mandat kepada rakyat untuk tentukan siapa akan berkuasa selepas ini,” katanya.

Selain itu Kamarazaman berpendapat sedikit sebanyak tekanan Umno itu memang ada namun ia masih boleh ditangani kerana yang menentukan sama ada perlu atau tidak parlimen dibubarkan bukanlah parti berkenaan.

Ismail Sabri juga, kata Kamarazaman, boleh menunggu lebih lama termasuk sehingga selesainya perbicaraan melibatkan Ahmad Zahid dan Yayasan Akalbudi pada bulan depan.

“Tapi kalau tunggu (lagi) dan akhirnya masuk pada waktu ekonomi merosot, kesannya jadi lagi teruk,” ujarnya.